MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu membuat kenyataan maaf kepada pemilik dan pengendali gimnasium susulan salah faham tentang pembukaan fasiliti tersebut di negeri di bawah Fasa Dua dan Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dikhabarkan bermula Jumaat.
Namun, Ahmad Faizal menegaskan pihaknya akan menggesa kerajaan membenarkan gimnasium dibuka semula secepat mungkin.
"Saya mohon maaf atas salah faham. Saya percaya Timbalan Menteri saya tersalah sebut atau salah maklumat.
"Kami akan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan isu ini dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," ujarnya.
Terdahulu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, gimnasium di negeri Fasa Dua dan Tiga di bawah PPN akan dibenarkan beroperasi bermula Jumaat dan hanya mereka yang lengkap divaksin sahaja dibenarkan masuk.
Bagaimanapun, Lian Ker menjelaskan semula kenyataannya dengan memaklumkan gimnasium hanya boleh beroperasi semula selepas prosedur operasi standard (SOP) tambahan diwartakan.
"Buat masa ini tiada isu pembukaan gimnasium cuma sedang menunggu SOP tambahan sebelum pengusahanya dibenarkan beroperasi," katanya.
Setakat ini, kerajaan membenarkan aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal melibatkan pengoperasian fasiliti sukan dan rekreasi terbuka dan tertutup kepada individu telah lengkap divaksin menerusi tempahan, di negeri Fasa Dua dan Tiga PPN. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram