'Keabsahan PM tidak perlu dipertikai lagi'


  • Politik
  • Ahad, 12 Sep 2021

AHMAD Faizal berkata Ismail Sabri sudah mendapat sokongan secara sah daripada anggota Dewan Negara. — The Star

TIADA keperluan untuk mengadakan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada persidangan Parlimen yang bermula Isnin ini, kata Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keabsahan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri tidak perlu lagi dipertikaikan memandangkan beliau sudah mendapat sokongan secara sah daripada anggota Dewan Negara.

"Pembangkang mungkin tidak berapa faham. Apabila Yang di-Pertuan Agong telah membuat lantikan iaitu setelah Seri Paduka Baginda benar-benar yakin seseorang itu sudah mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka undi percaya tidak perlu dibawa ke Dewan Rakyat.

"Apabila mereka tetap nak bawa (usul undi percaya), bermaksud mereka menidakkan kuasa lantikan seorang Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika program ‘Moh Lepak Sekejap Bersama YB Peja’ di Ipoh pada Ahad.

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 dijadualkan berlangsung selama 17 hari bermula Isnin hingga 12 Oktober.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan agar tiada usul undi percaya dikemukakan di Dewan Rakyat bagi menentukan keabsahan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram