Lega sektor sukan kembali bernafas


  • Massa
  • Rabu, 15 Sep 2021

KERAJAAN baru-baru ini membenarkan penganjuran acara sukan massa bagi kawasan yang berada dalam Fasa Tiga Pelan PPN. — Agensi.

'SPORTS Industry Coalition’ (SIC) pada Rabu berterima kasih kepada kerajaan atas kebenaran penganjuran acara sukan massa bagi kawasan yang berada dalam Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kumpulan itu yang mewakili pemain industri sukan melibatkan acara sukan penyertaan massa di negara ini dalam satu kenyataan menyatakan, pandemik Covid-19 telah menyebabkan acara sukan di seluruh dunia tanpa dijangka telah terhenti, dan menyebabkan kerugian kewangan yang besar dan masa hadapan industri tersebut yang tidak menentu.

Kenyataan itu menyatakan bahawa pemain industri seperti penganjur acara, penyedia perkhidmatan, pembekal dan juga pengeluar yang berkaitan terjejas, dengan pendapatan mereka menjunam kepada sifar sejak permulaan pandemik.

Kebenaran yang diberikan dianggap sebagai satu yang amat dialu-alukan dan akan memberikan peluang bernafas kepada pemain industri sukan massa, yang telah kehilangan punca pendapatan mereka.

Pengarah Kawasan World Endurance Malaysia yang merupakan penganjur acara Ironman CG Lim, berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Menterinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atas sokongan beliau kepada industri itu.

"Walaupun pembukaan semula ada satu proses yang bergerak dengan perlahan dan berbeza bagi kawasan-kawasan di seluruh negara, ia merupakan satu langkah ke arah yang betul bukan sahaja untuk industri sukan, tetapi seluruh negara,” katanya.

Menurut kenyataan SIC itu, acara sukan massa pada 2019 telah menarik penyertaan lebih 4.2 juta peserta, termasuk pengembara yang datang menyokong sektor pelancongan sukan, dengan sumbangan kepada impak ekonomi RM550 juta.

Namun dalam satu kajian yang dibuat dalam kalangan ahlinya, mereka mendakwa lebih 90 peratus daripada acara itu ditangguhkan atau dibatalkan, menyebabkan kerugian ekonomi lebih 95 peratus dalam pendapatan dan pengurangan 85 peratus daripada jumlah tenaga kerja pada 2020.

SIC yang ditubuhkan pada 18 Mac, terdiri daripada 75 pemain industri termasuk penganjur acara, penyedia perkhidmatan serta pengeluar barangan berkaitan dan pembekal dalam industri sukan.

Mengikut prosedur operasi standard (SOP) terkini sukan dan rekreasi yang dibenarkan dikemas kini pada 9 Sept, penganjuran kejohanan/ pertandingan/ acara sukan massa dengan kebenaran KBS, terhad dengan penyertaan tidak melebihi 250 orang dalam satu-satu masa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram