DUA wanita sesak nafas manakala segelintir besar penduduk di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Johor keluar dari kediaman mereka susulan terhidu bau kuat seperti bahan kimia, malam Selasa.
Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Ketua Unit Hazmat Jabatan Penyelamat Bomba Malaysia Negeri Johor, Saiful Bahri Safar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.22 malam dan pasukan pertama tiba di kampung berkenaan 15 minit kemudian.
"Dua mangsa yang berusia 20-an dan 40-an telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail kerana sesak nafas oleh unit EMRS.
"Anggota Hazmat pula telah membuat ‘detection’, ‘isolation’ dan ‘damping’ di sungai dan didapati terdapat tumpahan cecair pepejal yang berada di kawasan anak sungai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, tengah malam tadi.
Hasil ujian peringkat awal, pihaknya mengesyaki tumpahan itu adalah methyl alcohol, sejenis bahan buangan berjadual, dengan kepekatan 120 ppm (bahagian per juta).
"Jadi tindakan daripada kita, lima buah rumah kita minta kosongkan...yang berada jarak 150 meter (dari sungai) dan mereka semua dipindahkan ke balai raya.
"Buat masa ini, kita cuba mengawal kawasan ini dan terus mengesan dengan cara menyusuri anak sungai untuk mencari punca tumpahan ini bermula,” kata beliau.
Seramai 24 anggota dan pegawai dengan lima jentera daripada Balai Bomba Kempas, Balai Bomba Larkin dan Balai Bomba Johor Jaya, dikejarkan ke lokasi kejadian.
Setakat 2.30 pagi Rabu, usaha pengesanan tumpahan masih diteruskan dan pihaknya juga turut memohon bantuan pihak Jabatan Alam Sekitar dan Unit Hazmat Melaka.
Tinjauan Bernama juga mendapati bau seolah-olah petrol masih dapat dihidu sejauh kira-kira 300 meter dari anak sungai berkenaan.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Rubaiyah Mat Sam, 70, yang menyedari bau kuat sejak petang Selasa turut merasa pening-pening.
“Dari siang sudah cakap dengan budak-budak ini, bau apa ini, bau najis ke. Puas cari depan rumah, tapi tak ada apa pun.
“Dekat rumah sudah ada rasa pening tapi tak tahu apa. Saya dan menantu rasa pening, jadi kami telan panadol,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Raya Kampung Sinaran Baru, Seelong pada awal pagi Rabu.
Dia yang tinggal bersama anak lelakinya, menantu dan dua cucu hanya menyedari kehadiran bomba pada jam 10 malam dan mendengar khabar ada berlakunya pembuangan toksik.
Katanya, pada tengah malam Selasa, bomba telah mengarahkan mereka keluar dari rumah untuk tinggal sementara di balai raya itu.
“Bila dengar pasal (ada pembuangan sisa) jadi risau sebab ada cucu umur tiga bulan. Tak tahu nak cari (kemas) apa sebab panik, cari baju tudung semua tak kena,” katanya lagi.
Seorang lagi penduduk, Hafiz Badrul Hisham, 37, menyedari bau tersebut kira-kira 8.30 malam.
“Saya terhidu bau yang tidak menyenangkan sehingga terasa sesak nafas. Jadi saya cuba mencari, kemungkinan bau petrol, lama kelamaan makin kuat baunya,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Sri Aman.
Bila jiran-jiran sudah keluar, dia berkata ada seorang wanita batuk lalu rebah, jadi dia pergi menolong sementara menunggu bomba tiba.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang berkata, penduduk kampung berkenaan yang sebelum ini ditempatkan di balai raya berhampiran kini ditempatkan semula ke Balairaya Kampung Sinaran Baru yang terletak kira-kira satu kilometer memandangkan bau yang masih kuat.
“Kita telah menguruskan makanan dengan segera dan juga tikar sebagainya untuk mereka tidur. Bila masih berbau, kita pindahkan mereka untuk keselamatan,” kata beliau ketika ditemui di kampung berkenaan pada malam Selasa. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
