ALAMAT tidak tepat yang tertera pada nota panggilan menyebabkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sabah gagal untuk menyelamatkan mangsa kebakaran di Taman Hungab, Penampang yang mengorbankan empat sekeluarga pada Selasa.
Pada kejadian itu, empat sekeluarga maut dan kesemua mereka sudah pun dikenal pasti, Matthew Wong, 50, isterinya, Vun Kon Fung, 48, serta dua anak, Brendan Wong, 18, dan Eric Wong, 15.
Pengarah JBPM Sabah, Md Ali Ismail berkata, berdasarkan rekod pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, pasukan penyelamat tiba pada jam 3.04 pagi selepas mendapat maklumat 2.52 pagi.
Md Ali berkata, maklumat tidak tepat itu menyebabkan pasukan itu tersasar dan terpaksa mendapatkan maklumat sebenar untuk ke lokasi kebakaran sebenar.
"Semasa ketibaan, pasukan bomba mendapati bahawa api telah merebak di aras bawah dan atas rumah.
"Hasil siasatan menjurus kepada punca bebanan elektrik di tingkat bawah rumah dan bebanan api yang berlebihan menyebabkan api merebak dengan lebih cepat, dan jangkaan api bermula adalah pada jam 2.32 pagi," katanya menerusi kenyataan.
Md Ali berkata, mangsa dipercayai gagal keluar daripada tempat kejadian kerana bahagian bawah rumah dipenuhi api dan semua tingkap serta pintu keluar berjeriji serta berkunci.
Kejadian itu mendapat perhatian Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor yang mahu prosedur operasi standard (SOP) dalam Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 dipermudahkan, termasuk menyambung terus panggilan ke nombor atau daerah dan negeri yang terbabit khususnya di Sabah.
Tambah Md Ali, terdapat empat panggilan yang diterima pihak Pusat Panggilan MERS999, Melaka yang mana panggilan pertama yang diterima adalah pada jam 2.49:01 pagi dan panggilan yang kedua pada jam 2.49:02 pagi.
Beliau berkata, terdapat tiga Pusat Panggilan di seluruh Malaysia iaitu di Kuala Lumpur, Melaka dan Kuching, yang mana salah satu pusat panggilan akan menerima mana-mana panggilan kecemasan melalui panggilan 999. – Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram