SEORANG lelaki maut selepas melanggar seekor lembu yang sedang melintas di Kilometer 91.1 Lebih Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Bedong, Kedah pada Khamis.
Insiden itu dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, Muhammad Amirul Hakim yang kebetulan menggunakan jalan yang sama.
Dalam satu hantarannya, Muhammad Amirul berkata kejadian itu berlaku sekitar pukul 9.10 malam itu dan mangsa yang dikenali Qhairul Idham Baharuddin, 27, merupakan seorang pemandu kren di Pulau Pinang dan dalam perjalanan pulang kerja ke rumahnya di Taman Gurun Jaya, Kedah dengan menunggang motosikal jenis Bennelli.
"Sebaik sampai di KM91.1 berhampiran Bedong, motorsikal mangsa terlanggar lembu yang entah dari mana datangnya.
"Dalam masa yg sama, sebuah kereta yang dipandu oleh sepasang suami isteri mengekori di belakang mangsa turut melanggar seekor lagi lembu menyebabkan keretanya remuk di bahagian hadapan. Kedua-duanya tidak mengalami sebarang kecederaan," tulisnya.
Seekor daripada lembu yang dirempuh dalam kejadian berhampiran lebuh raya PLUS dekat Bedong, Kedah.
Difahamkan, terdapat tiga ekor lembu yg berada di atas lebuh raya tersebut ketika kejadian berlaku.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman @Abdul Rahim yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa tidak menyedari kewujudan lembu sebanyak tiga ekor yang sedang melintas lebuhraya berkenaan.
Jelasnya, mangsa melanggar seekor daripadanya menyebabkan dia terpelanting ke sebelah kiri bahu jalan.
"Tidak lama kemudian, sebuah kereta yang dinaiki sepasang suami isteri turut melanggar lembu terbabit.
"Mangsa disahkan meniggal dunia oleh pasukan paramedik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) yang tiba di lokasi kejadian," katanya.
Tambahnya lagi, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan badan.
"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HSAH untuk bedah siasat," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram