PENTADBIR masjid perlu memberikan layanan sama rata dan tidak hanya tertumpu kepada 'golongan kayangan' untuk menunaikan solat, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Beliau turut mengingatkan pihak tersebut supaya tidak memberikan layanan istimewa kepada mana-mana individu berstatus orang kenamaan (VIP) seperti mana yang berlaku dalam sebuah rakaman video di laman sosial yang tular pada Jumaat.
"Apa yang tular itu kita sedang kenal pasti punca sebenar berlakunya perkara tersebut.
"Pihak Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad sendiri telah meminta pihak masjid berkenaan memberikan penjelasan berhubung insiden tersebut dan akan diselesaikan dengan segera," katanya kepada pemberita selepas Program Musaadah Yayasan dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) - Bank Islam kepada pengayuh beca di Dataran Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu.
Terdahulu, seorang pengguna Facebook telah merakam kejadian dipercayai di sebuah masjid di Putrajaya yang yang memaparkan hanya individu yang mempunyai pangkat dan kabel dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat di masjid itu.
Rakaman video berdurasi kira-kira satu minit itu turut menunjukkan sekumpulan jemaah dilihat dilarang memasuki masjid manakala ada golongan dipercayai VIP dibenarkan masuk. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram