Rugi lebih RM400,000 gara-gara kemaruk gelaran Datuk Seri Utama


  • 112
  • Ahad, 29 Ogos 2021

MANGSA hanya menyedari dirinya ditipu selepas membuat semakan mengenai akaun bank sindiket terbabit. — Sinar Harian

GARA-GARA terpedaya dengan tawaran gelaran Datuk Seri Utama serta sebidang tanah, seorang pengarah syarikat di Kuala Lumpur mengalami kerugian sebanyak RM406,400 selepas menyedari ia merupakan sebuah Macau Scam.

Dalam kejadian itu, mangsa mendakwa menerima panggilan yang memaklumkan bahawa Istana Negara akan mengurniakan gelaran Seri Utama Mahkota Wilayah dan sebidang tanah berkeluasan 2.2 hektar kepadanya pada 28 Mac lalu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komissioner Mahidisham Ishak, pada hari yang sama mangsa memaklumkan bahawa dia telah menyerahkan salinan maklumat butiran syarikat dan butiran peribadi kepada seorang individu di sebuah restoran berhampiran pintu 2 Istana Negara.

"Mangsa juga telah diminta untuk melakukan beberapa pembayaran selepas itu.

"Suspek telah mengarahkan mangsa membuat pembayaran sebanyak RM9,400 ke dalam satu akaun yang telah diberikan pada 6 April 2021. Dia kemudian diarahkan lagi membuat empat lagi bayaran ke akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM247,000 antara 30 April sehingga 17 Jun 2021," ujarnya.

Tambah beliau lagi, selain transaksi akaun, mangsa turut menyerahkan wang tunai berjumlah RM150,000 kepada suspek.

Mangsa cuma menyedari dia ditipu selepas membuat semakan ke atas akaun yang diberikan oleh suspek.

Dia mendapati bahawa mendapati akaun tersebut adalah di atas nama syarikat yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Jelas Mahidisham lagi, mangsa kemudian ke balai polis untuk membuat laporan kerana merasa ditipu dalam urusan bagi mendapatkan gelaran tersebut.— Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram