Peniaga rugi RM30,000 kononnya miliki tunggakan cukai LHDN


  • 112
  • Jumaat, 27 Ogos 2021

WAZIR memaklumkan bahawa mangsa menyedari bahawa dirinya ditipu selepas dia gagal menghubungi semula talian berkenaan. — Bernama

SEORANG peniaga kerugian RM 30,000 selepas diperdaya kononnya mempunyai tunggakan cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Terdahulu, pengadu yang berusia 44 tahun dimaklumkan bahawa dia tunggakan cukai sebanyak RM32,000 atas syarikat yang didaftarkan atas namanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa pada awalnya telah menerima sebuah panggilan pada 22 Ogos lalu daripada seorang individu yang mengaku dirinya sebagai pegawai dari LHDN.

"Mangsa pada awalnya tidak percaya dengan dakwaan berkenaan. Panggilan itu kemudian kononnya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis daerah Melaka.

"Dalam panggilan itu mangsa telah bercakap dengan seorang lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai TN Yong. Mangsa dimaklumkan bahawa dia terlibat dalam pengubahan wang haram dengan penama Lim Wai Kang kerana penama pernah memberi barang kemas," ujarnya.

Tambah beliau lagi, mangsa kemudian diarahkan untuk memasukkan sebahagian wang miliknya ke dua akaun berbeza bagi mengelakkan semua wang di dalam akaun miliknya dibekukan.

Terpedaya dengan arahan itu, mangsa kemudiannya telah memindahkan wang berjumlah RM30,000.00 ke akaun yang diberi.

Tambah Wazir lagi, mangsa bagaimanapun menyedari bahawa dirinya ditipu selepas dia gagal menghubungi semula talian berkenaan kerana ingin meminta kembali wang miliknya beberapa hari kemudian.

"Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

macau scam, kuantan, wazir