KEMASUKAN pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) secara fizikal ke kampus akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 15 Oktober ini, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada Selasa.
Beliau berkata, ia melibatkan pelajar yang telah lengkap vaksinasi Covid-19, merangkumi semua kategori pelajar dan semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan.
Melalui proses kemasukan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT, Noraini berkata, selain pelajar, hanya staf yang telah lengkap vaksinasi Covid-19 serta melepasi tempoh keberkesanan vaksin dibenarkan berada di kampus.
“Keberadaan warga IPT yang telah lengkap divaksin akan membentuk komuniti sosial yang selamat serta mewujudkan persekitaran Fasa Empat PPN di kampus.
"Jadinya, SOP ketat perlu diamalkan bagi menguruskan pergerakan keluar dan masuk,” katanya pada sidang media secara maya melalui Facebook rasmi Kementerian Pengajian Tinggi pada Selasa.
Noraini berkata, kementerian berkenaan dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang giat melaksanakan Program VACC2Campus bagi meningkatkan jumlah warga IPT yang mendapat vaksinasi lengkap sebelum kampus dibuka.
"Warga IPT boleh mendapatkan vaksin secara 'walk-in' di mana-mana pusat pemberian vaksin dengan hanya perlu bawa kad pelajar, kad pekerja dan kad pengenalan atau pasport," katanya.
Menurutnya, bagi pelajar baharu, mereka perlu membawa surat tawaran kemasukan ke IPT berserta kad pengenalan atau pasport.
"KPT mengunjurkan 100 peratus kakitangan dan pelajar IPT yang boleh mendapat vaksin dan berdaftar dengan MySejahtera akan menerima suntikan vaksin lengkap menjelang hujung Oktober 2021," katanya.
Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 66 peratus pelajar dan 90 peratus kakitangan IPT telah lengkap divaksin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram