Sekali lagi harapan ibu bapa, guru kepada Radzi, Noraini


  • Massa
  • Sabtu, 28 Ogos 2021

RADZI Jidin dan Noraini Ahmad, masing-masing memegang semula jawatan lama. — The Star

PELANTIKAN semula Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebagai Menteri Pendidikan dan Menteri Pengajian Tinggi dapat memastikan dasar serta perancangan yang sedia ada.

Namun ibu bapa, guru dan pakar akademik berkata masih banyak perkara yang perlu dilakukan bagi meningkatkan kualiti pendidkan negara dan memastikan sekolah bebas daripada wabak Covid-19.

Presiden Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata beliau berharap Radzi boleh mempertimbangkan saranan Majlis Penasihat Pendidikan Negara (NEAC) 2018-2020 untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

Katanya antara perkara yang perlu dilakukan termasuk menyediakan kemudahan penting kepada guru bagi melicinkan proses pembelajaran.

Tambahnya aktiviti kokurikulum juga perlu dilaksanakan mengikut keperluan pelajar dan tindakan tegas perlu diambil terhadap guru yang ingkar.

"Berikan lebih masa untuk pembelajaran Sains dan Matemarik di peringkat sekolah rendah, pastikan tahap kesihatan mental pelajar dalam keadaan baik sebelum kembali ke sekolah dan jangan ambil mudah perkara ini.

"Perlu berani melakukan perubahan dan cuba wujudkan satu daripada sistem pendidikan terbaik dunia," katanya.

Pengerusi PAGE Melaka, Mak Chee Kin berkata isu paling mencabar buat Radzi adalah menguruskan situasi Covid-19 dan memastikan keselamatan pelajar terjamin apabila sekolah dibuka semula.

"Menteri Pendidikan perlu bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan bagi mempercepatkan proses vaksinasi dalam kalangan anak-anak.

"Jika kita tidak memulakan proses itu pada pertengahan September seperti yang dijadualkan, pembukaan sekolah akan tertangguh lagi dan lebih banyak usaha perlu ditumpukan bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR)," katanya.

Sekolah di negeri yang memasuki Fasa Dua dan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara dijangka dibuka secara berperingkat pada 3 Oktober dengan proses vaksinasi dalam kalangan pelajar akan bermula dari pertengahan September.

Mak juga berkata ibu bapa mahu urusan berkaitan pelajar Tingkatan Enam diletakkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dengan tujuan penyelarasan yang lebih baik melibatkan program pra-universiti.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Wang Heng Suan berkata pihaknya berharap lebih banyak sokongan dan kerjasama daripada kementerian untuk mengadakan perbincangan terbuka dengan mereka.

"Biar pandangan dan pendapat guru didengar, terutamanya dari NUTP yang mewakili 230,000 ahli.

"Maklumat perlu diperoleh daripada guru dan kesatuan, dan kami perlu tahu situasi sebenar pendidikan Malaysia," katanya.

Presiden Persatuan Universiti dan Kolej Swasta Malaysia Datuk Dr Parmjit Singh berkata dengan pelantikan semula Norani di Kementerian Pengajian Tinggi akan memastikan kelangsungan dan kestabilan yang diperlukan ketika waktu tidak menentu ini.

"Ini dapat memastikan pelan membuka semula universiti secara berperingkat yang telah dibincangkan sejak beberapa minggu lepas, boleh diteruskan," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Radzi Jidin, Noraini Ahmad, pendidikan, NUTP, PAGE