TULAR di media sosial video seorang individu tidak dikenali cuba membakar sebuah pondok polis dipercayai di Kelantan.
Video 43 saat tersebut menunjukkan seorang individu tiba ke di pekarangan balai polis di Jelawat dengan menaiki motosikal.
Suspek kemudian dilihat membongkok kemudian menyalakan api sebelum lari meninggalkan kawasan terbabit apabila api mulai marak.
Balai serta kawasan terbabit bagaimanapun dilihat sunyi tanpa kehadiran orang lain.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat dalam satu sidang media pada Ahad berkata, polis berjaya menahan dua individu lelaki bagi membantu siasatan kes tersebut yang dikatakan berlaku pada awal pagi Sabtu.
Shafien berkata, dua individu terbabit ditahan sekitar jam 10.30 malam hari yang sama dalam dua serbuan di dua lokasi berbeza.
"Hasil siasatan lanjut di tempat kejadian, pihak kami menjumpai kesan jelaga pada dinding bahagian luar pondok dan kesan sedikit terbakar bahagian bawah dinding.
"Terdapat juga kesan retak pada cermin tingkap berhampiran dinding yang terbakar serta satu kepingan bahan yang terbakar dipercayai diperbuat dari plastik turut dijumpai," jelasnya.
Menurut Shafien, motif kejadian tersebut masih lagi dalam siasatan dan kedua-dua lelaki tersebut telah direman selama enam hari bermula Ahad.
"Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan penjara empat belas tahun dan juga denda," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram