Video tular golongan kayangan: Masjid Putra tampil mohon maaf


  • Tular
  • Sabtu, 11 Sep 2021

MASJID Putra membuat permohonan maaf kepada orang ramai sekiranya wujud sebarang kekhilafan berhubung isu video tular pada Jumaat. — The Star

PIHAK Masjid Putra di Putrajaya mengehadkan kapasiti jemaah seramai 300 orang bagi mematuhi peraturan dan ketetapan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan pihak berkuasa, kata pihak masjid itu dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menerusi kenyataan sama, pihak tersebut turut membuat permohonan maaf kepada orang ramai sekiranya wujud sebarang kekhilafan berhubung isu video tular yang kononnya pihaknya memberikan layanan berbeza kepada jemaah yang hadir untuk solat Jumaat semalam.

"Daripada jumlah tersebut, pihak pengurusan masjid turut memperuntukkan sejumlah kuota untuk jemaah tetap yang telah mendaftar lebih awal dan memaklumkan jangkaan waktu kehadiran mereka.

"Apabila kapasiti jemaah telah mencukupi, pihak pengurusan masjid akan menutup pintu pagar utama masjid menyebabkan jemaah yang hadir kemudian tidak dapat memasuki masjid," katanya.

Pada masa sama, pihak masjid tersebut berkata, setiap minggu Masjid Putra menerima kehadiran jemaah melebihi kapasiti yang ditetapkan dengan ada yang menunggu sejak jam 11.00 pagi lagi untuk menunaikan solat Jumaat.

Tambahnya lagi, pihak pentadbiran masjid akan berusaha menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah yang terdiri daripada pelbagai kedudukan.

"Kami bersedia mempertingkatkan lagi kualiti pengurusan. Sebarang cadangan dan maklumbalas bolehlah menghubungi terus pihak Masjid Putra," katanya lagi.

Terdahulu, seorang pengguna Facebook telah merakam kejadian dipercayai di sebuah masjid di Putrajaya yang yang memaparkan hanya individu yang mempunyai pangkat dan kabel dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat di masjid itu.

Rakaman video berdurasi kira-kira satu minit itu turut menunjukkan sekumpulan jemaah dilihat dilarang memasuki masjid manakala ada golongan dipercayai VIP dibenarkan masuk. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram