Akta cegah lompat parti hapus 'katak politik'


  • Politik
  • Khamis, 02 Sep 2021

AKTA Mencegah Lompat Parti perlu dibentangkan di Parlimen bagi jaga kredibiliti wakil rakyat. — The Star

AKTA Mencegah Lompat Parti amat penting untuk mengembalikan imej demokrasi negara dan politik yang tercalar teruk akibat permainan ‘katak politik’ yang melompat parti demi habuan dan kepentingan peribadi, kata Veteran Umno.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakob berkata dengan wujudnya akta itu, ia secara tidak langsung dapat menjamin amanah pengundi yang sebelum ini memilih berdasarkan parti yang diwakili.

Mustapha berkata, sekiranya akta itu tidak direalisasikan, risiko lompat parti bukan saja meruntuhkan sistem demokrasi malah merosakkan pentadbiran dan membantutkan pembangunan negara.

“Daripada pengalaman yang lalu, mereka yang melompat parti itu disebabkan oleh kepentingan peribadi dan bukannya atas alasan kepentingan rakyat serta pengundi," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu katanya, akta itu juga akan memelihara kredibiliti ahli Parlimen tersebut dan menjaga moral parti daripada perlakuan mereka yang tidak bertanggungjawab mengabaikan amanah parti kepada mereka.

"(Yang pasti) akta itu akan membendung dan menyekat ahli Parlimen melompat daripada parti asal yang mereka menangi dalam pilihan raya kepada parti lain atas apa alasan sekali pun," katanya.

Beliau juga berkata pihaknya menyokong saranan yang dibuat Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said agar akta itu dibentangkan di Parlimen dan mengharapkan semua ahli Parlimen dan parti politik menyokongnya sebulat suara.

Pada Rabu, Azlina dalam satu kenyataan berhasrat menghantar notis usul bagi membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 bagi tujuan memperkenalkan pilihan raya semula atau 'recall election'.

Beliau bercadang menghantar notis usul tersebut kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk RUU Ahli Yang Bukan Ahli Kerajaan untuk dibentangkan pada sidang Parlimen yang akan bermula pada 13 September ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

politik, lompat parti, parlimen