YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyambut baik keterbukaan kerajaan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara.
Baginda dalam titahnya pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini turut menasihatkan semua pihak supaya mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.
"Beta turut menyambut baik dan amat menghargai usaha-usaha ke arah merealisasikan pendekatan baharu kerjasama dwipartisan antara semua pihak yang bakal membentuk landskap politik baharu dan membawa perubahan dalam sistem pentadbiran negara,” titahnya
Menyifatkan kematangan seumpama itu didambakan seluruh rakyat, Al-Sultan Abdullah bertitah perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan sebuah ‘Keluarga Malaysia’, negara akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan.
"Ambillah nasihat pepatah Melayu lama yang berbunyi biduk lalu kiambang bertaut, sesungguhnya yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua,” titah Seri Paduka.
Selain itu baginda turut menyeru kerajaan supaya mempercepatkan pemulihan ekonomi menerusi penggubalan dasar-dasar mesra perniagaan dan pelaburan bagi meningkatkan daya saing negara.
Seri Paduka bertitah, perbelanjaan yang sewajarnya turut perlu disediakan bagi membiayai langkah kesihatan awam, menyediakan bantuan kepada golongan yang terjejas serta sokongan untuk menggiatkan aktiviti perniagaan selaras dengan pembukaan ekonomi.
Al-Sultan Abdullah bertitah, untuk membolehkan perbelanjaan tambahan bagi tujuan berkenaan, kerajaan akan membentangkan cadangan di Dewan Rakyat bagi meningkatkan siling perbelanjaan Kumpulan Wang Covid-19, serta had statutori hutang kerajaan.
"Peningkatan daya saing negara juga perlu difokuskan terhadap usaha menambah baik ekosistem serta persekitaran perniagaan bagi meneroka penciptaan kekayaan baharu dan menambah nilai terutamanya oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana," titah Seri Paduka.— Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram