BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak wajar dibebankan dengan jawatan sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas Anwar, perkara itu berikutan Muhyiddin telah gagal dalam mentadbir negara sebelum ini.
"Saya tidak melihat pelantikan itu sebagai satu kelebihan buat negara dan ia sebagai percaturan sesetengah pihak untuk tujuan mengekalkan kuasa.
“Saya rasa Muhyiddin tidak wajar dibebankan dengan tanggungjawab baharu, setelah terbukti sebagai Perdana Menteri dia ada kuasa yang tinggi namun masih gagal menyelesaikan masalah Covid-19," katanya dalam program Sembang Spontan bersama Afdlin Shauki yang disiarkan secara langsung di Facebooknya pada Sabtu.
Tambah beliau lagi, Muhyiddin juga sebagai Perdana Menteri selama setahun setengah, telah membuktikan bahawa ekonomi negara merudum, pengangguran bertambah dan dasar pengendalian meningkat.
Jelasnya lagi, pelantikan berkenaan tidak mendatangkan faedah melainkan sekadar kompromi dan percaturan untuk kekalkan kuasa tetapi tak menjamin kepentingan rakyat.
Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berpendapat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu melaksanakan undi percaya selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Katanya, YDPA mahukan perkara tersebut menjadi agenda utama pada pembukaan sidang Parlimen akan datang.
"Pemimpin terdahulu seperti Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Ahmad Badawi melakukan undi percaya di Parlimen selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri," ujarnya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram