Padah aksi 'zig-zag', 'roket', 'Superman'


  • 112
  • Ahad, 12 Sep 2021

SEMUA suspek yang berusia antara 15 hingga 25 tahun ditahan menerusi Operasi Samseng Jalanan dan Motosikal yang berakhir jam 4 pagi.— Facebook

EMPAT "mat rempit" termasuk seorang pelajar sekolah ditahan polis kerana menunggang motosikal sambil melakukan aksi merbahaya dekat Plaza Tol Ayer Panas, Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Jalan Kuching, Kuala Lumpur, awal pagi Ahad.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, kesemua suspek yang berusia antara 15 hingga 25 tahun ditahan menerusi Operasi Samseng Jalanan dan Motosikal yang berakhir jam 4 pagi.

"Sepasukan anggota unit risikan serta operasi JSPT menangkap suspek yang didapati membuat kesalahan dengan berlumba sambil melakukan aksi 'zig-zag', 'roket' dan 'Superman'.

"Pelajar sekolah dan seorang mekanik ditahan di Plaza Tol Ayer Panas dekat Lebuhraya DUKE, manakala dua pekerja kilang di Jalan Kuching," katanya menerusi satu kenyataan.

Tambahya, semua suspek dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sarifudin turut memberitahu, pihaknya menahan dua lelaki di sekitar ibu negara menerusi operasi sama semalam, kerana melanggar undang-undang jalan raya.

Jelasnya, dua lelaki berkenaan berusia 25 dan 29 tahun dan seorang daripadanya disyaki memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol.

"JSPT Kuala Lumpur menjalankan Operasi Samseng Jalanan dan Motosikal di Jalan Tun Razak, Jalan Loke Yew, Jalan Bangsar, Jalan Kuching serta Plaza Tol Ayer Panas, Lebuhraya DUKE bermula Jumaat hingga awal pagi Ahad.

"Secara keseluruhan sebanyak 984 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi terbabit," ujarnya.

Hurainya lagi, pihaknya turut menyita 43 motosikal atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan iaitu ekzos.

"Motosikal itu akan melalui pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta pemiliknya diarahkan mengubah kenderaan ke struktur asal.

"Pihak polis akan terus mempertingkatkan operasi terutama pada hujung minggu bagi mencegah sepenuhnya aktiviti samseng jalanan bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya lain," jelasnya.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan bileh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999, Hotline JSPT Kuala Lumpur (03-20260267/69) atau mana-mana balai polis berhampiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram