Penjenayah dikehendaki berjaya dicekup polis dalam Ops Samseng Jalanan


  • 112
  • Ahad, 05 Sep 2021

SUSPEK didakwa mencuri sebuah motosikal selain memiliki tiga rekod jenayah lampau. — The Star

SEORANG penjenayah dikehendaki berjaya dicekup polis dalam Operasi Samseng Jalanan di Jalan Tun Razak di ibu negara pada Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh dalam kenyataannya berkata, hasil semakan pihaknya mendapati lelaki berusia 27 tahun itu mempunyai tiga rekod lampau.

"Dia juga dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

"Polis akan terus mempertingkatkan operasi terutama di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan," jelasnya dalam kenyataan itu.

Sementara itu dalam operasi berasingan pada Ahad, tiga lelaki mat rempit berjaya ditahan kerana disyaki melakukan aksi berbahaya di Jalan Kuching, Kuala Lumpur.

Ketiga-tiga yang ditahan berusia lingkungan 18 hingga 20 tahun ditahan kerana melakukan aksi zig-zag, roket, Superman serta bersaing.

Sarifudin berkata, kesemua yang ditahan telah dibawa ke Balai JSPT Kuala Lumpur.

"Ketiga-tiga mereka akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) 1987 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain," katanya melalui kenyataan

Tambah Sarifudin lagi, Operasi Samseng Jalanan dan Operasi Motosikal dilaksnakan di sekitar pusat bandar raya Kuala Lumpur sejak Jumaat lalu hingga Ahad.

"Operasi kali ini melibatkan seramai empat pegawai dan 34 anggota polis.

"Sebanyak 896 jumlah saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, 19 motosikal juga disita di bawah Seksyen 64 APJ atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos)," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Operasi Samseng Jalanan, PDRM