Polis buru tiga tahanan positif Covid-19


  • 112
  • Ahad, 05 Sep 2021

KETIGA-TIGA warga asing positif Covid-19 yang kini diburu polis. — Bernama

POLIS sedang giat memburu tiga tahanan lelaki positif Covid-19 yang meloloskan diri dari Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Dewan Arena, Tawau, Sabah pada 12.30 tengah malam Ahad

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, dua tahanan iaitu Niko Matheus, 25, dan Hashim Muhamad Syata, 34, merupakan warga Indonesia manakala seorang lagi Jimnajir Annor, 23, warga Filipina.

"Ketiga-tiga mereka ini ditempatkan di PKRC Dewan Arena di Tawau bersama 16 tahanan lain, siasatan awal mendapati mereka mengumpil keluar dawai besi di tandas untuk melarikan diri," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Peter berkata, susulan itu pihaknya melancarkan operasi khas Ops Tutup dengan melakukan sekatan jalan raya di lokasi strategik termasuk di jeti Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Lama di Tawau bagi mengesan semua suspek terbabit.

"Polis yakin ketiga-tiga tahanan ini masih berada di Tawau, kita juga melaksanakan operasi Ops Kesan dengan mewujudkan pasukan pengesan terdiri daripada pelbagai unit polis," katanya.

Menurutnya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga suspek berkenaan diminta tampil dan melaporkan segera ke balai polis berdekatan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, tahanan, lari, pkrc, covid-19,