Lapor segala aktiviti kepada Langkawi Task Force


  • Primer
  • Ahad, 12 Sep 2021

NOOR Hisham mahu rakyat terus mematuhi SOP sewaktu melancong. — MOHD SAHAR MISNI/The Star

SEMUA agensi sama ada kerajaan, swasta, badan berkanun serta persatuan yang terlibat dalam projek rintis gelembung pelancongan di Pulau Langkawi, Kedah perlu melaporkan aktiviti mereka kepada jawatankuasa Langkawi Task Force.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah berkenaan dibuat kerana semua yang terbabit akan diberi peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam projek berkenaan.

"Alhamdulillah, Pegawai Daerah Langkawi, Saiful Anwar Azmi bersetuju untuk mempengerusikan Langkawi Task Force yang bertujuan menjayakan projek rintis tersebut.

"Beberapa petunjuk prestasi bagi kesihatan telah dicadangkan dan akan diperhalusi di peringkat jawatankuasa," katanya dalam hantaran menerusi laman sosialnya pada Ahad.

Menurut Noor Hisham, antara perkara yang bakal diperhalusi itu termasuk nilai ambang tertentu kes Covid-19 harian baharu serta kemampuan kapasiti kesihatan awam, kluster baharu berkaitan aktiviti gelembung pelancongan selain kapasiti katil wad dan Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah.

Pagi tadi, Noor Hisham bersama delegasi Kementerian Kesihatan (KKM) hadir ke Mesyuarat Penyelarasan Gelembung Pelancongan Langkawi yang diselaraskan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), bersempena dengan pengumuman kerajaan mengenai pemilihan pulau itu sebagai projek rintis destinasi gelembung pelancongan domestik mulai 16 September.

Antara agensi lain yang hadir secara maya ialah Pejabat Daerah Langkawi, Majlis Perbandaran Langkawi, Malaysia Airports Holdings Bhd, Majlis Keselamatan Negara serta agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Laut, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen.

Turut hadir adalah pihak Hospital Sultanah Maliha, Pejabat Penerangan, Pejabat Agama Daerah Langkawi, Tourism Malaysia dan Akademi Pelancongan Langkawi.

"Antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai prosedur operasi standard (SOP) Gelembung Pelancongan Langkawi dan peranan antara agensi dalam penguatkuasaan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan," katanya.

Beliau sekali lagi menyeru semua bakal pengunjung ke Pulau Langkawi supaya memastikan mereka telah lengkap divaksinasi, kekal mematuhi SOP dan sentiasa mengamalkan norma baharu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram