AIRASIA membangunkan pelbagai inovasi dan pembaharuan teknologi tanpa sentuh dalam persiapan rancaknya untuk kembali terbang ke destinasi percutian bermula dengan Langkawi pada 16 September ini.
Ia merupakan usaha syarikat penerbangan tambang rendah bagi membolehkan para tetamu terbang dengan lebih selesa dan selamat.
Menurut AirAsia dalam satu kenyataan, pembaharuan itu termasuk menambah baik sistem daftar masuk yang mudah dan pantas.
"Sistem ini membolehkan tetamu memuat naik dokumen kesihatan dan vaksinasi mereka untuk pengesahan segera melalui airasia Super App sebelum ke lapangan terbang.
"Ini bermakna tidak perlu lagi beratur untuk ke kaunter atau bersesak di lapangan terbang," katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, AirAsia turut memastikan prosedur operasi dilaksanakan dengan standard tertinggi.
Prosedur itu termasuk menugaskan hanya kru penerbangan yang telah divaksinasi sepenuhnya untuk mengendalikan pesawat.
Jelasnya lagi, ciri-ciri keselamatan pesawat sendiri seperti sistem pengudaraan dan penapis berkuasa tinggi yang digunakan di dalam kabin juga menjamin udara yang paling bersih untuk para tetamu.
"Ciri-ciri berkenaan telah dibuktikan melalui pelbagai kajian dan penyelidikan antarabangsa.
"Kami turut menasihati para penumpang memastikan beberapa perkara sebelum menempah tiket penerbangan untuk menjamin perjalanan yang lancar," ujarnya.
Tambahnya, antara perkara yang perlu dilakukan adalah menyemak jika ada sebarang peraturan atau syarat-syarat tertentu yang telah ditetapkan untuk ke Langkawi dan destinasi.
Ia termasuklah keperluan menyediakan dokumen kesihatan dan perjalanan seperti kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa lain, sekiranya diperlukan.
"Syarat-syarat ini mungkin akan berubah dari semasa ke semasa, jadi sila dapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa berkaitan terlebih dahulu.
"Memandang semua tetamu perlu mendaftar masuk secara kendiri bagi meminimumkan sentuhan fizikal dan mengurangkan kesesakan di lapangan terbang, daftar masuk melalui kaunter hanya untuk tetamu tertentu," jelasnya.
Kategori yang dimaksudkan adalah golongan kurang upaya, tetamu yang membawa bayi bawah usia 24 bulan dan tetamu bawah umur yang terbang sendiri.
AirAsia turut menjelaskan, caj daftar masuk kaunter akan dikenakan kecuali untuk kategori tetamu seperti yang dinyatakan di atas.
"Para tetamu digalakkan untuk tiba sebaik-baiknya empat jam sebelum masa berlepas dan wajib memakai pakai pelitup muka sebelum, semasa dan selepas penerbangan.
"Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan daftar masuk kendiri dan cara untuk mengesahkan sijil vaksinasi, boleh layari Halaman Sokongan AirAsia," katanya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram