Patuhi SOP ketika melancong ke Langkawi


  • Primer
  • Ahad, 12 Sep 2021

ORANG ramai diingatkan agar mematuhi SOP semasa melancong di Langkawi.— The Star

ORANG ramai yang bakal berkunjung ke Pulau Langkawi, Kedah dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan norma baharu dan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah susulan keterujaan orang ramai yang ingin bercuti menerusi projek rintis gelembung pelancongan domestik.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru semua pihak bersama-sama memainkan peranan bagi memastikan tiada peningkatan jangkitan virus Covid-19 di pulau percutian itu.

"Dalam usaha mengimbangi antara nyawa dan kelangsungan hidup serta ekonomi, kerjasama anda semua adalah sangat diperlukan," katanya menerusi hantaran di akaun laman sosial Facebook.

Tambah beliau lagi, KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sedang meningkatkan kapasiti dan kesiapsiagaan Hospital Sultanah Maliha (HSM).

Perkara itu bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes Covid-19 di Pulau Langkawi yang memerlukan kemasukan ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU).

hisham langkawi

KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sedang meningkatkan kapasiti dan kesiapsiagaan Hospital Sultanah Maliha (HSM).— Facebook

HSM merupakan sebuah hospital hibrid yang merawat pesakit Covid-19 dengan 79 katil, manakala untuk bukan Covid19 sebanyak 142 katil.

"Sebanyak 60 katil tambahan berjaya diwujudkan bagi merawat pesakit Covid-19 kategori satu, dua dan tiga yang berisiko rendah.

"Persediaan ini dilakukan menerusi penubuhan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Langkawi International Shooting Range Malaysia (i-PKRC LISRAM) pada 4 Ogos lepas," ujarnya.

Noor Hisham turut menambah,, sebanyak lapankatil tambahan di ICU telah diwujudkan sebelum ini (repurposed) menjadikan kapasiti katil meningkat kepada 13 dan daripada jumlah itu, sembilan katil adalah dikhususkan bagi merawat kes Covid-19.

Hurai beliau lagi, jabatan lain HSM, turut merancang pelan kesiapsiagaan masing-masing bagi merawat kes Covid-19 yang mungkin akan bertambah.

"Antara jabatan yang terlibat antaranya Jabatan Kecemasan dan Trauma, Jabatan Patologi dan Transfusi Perubatan, Jabatan Pediatrik, Jabatan Forensik serta Unit Hemodialisis.

"Melalui perbincangan yang diadakan bersama pihak HSM dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, beberapa cadangan penambahbaikan telah diberikan termasuk penetapan nilai ambang kadar kemasukan pesakit harian sebagai petanda amaran agar tindakan proaktif tertentu diambil," jelasnya.

hisham langkawi 2

HSM, turut merancang pelan kesiapsiagaan masing-masing bagi merawat kes Covid-19 yang mungkin akan bertambah.— Facebook

Katanya lagi, ia termasuk keperluan menambah bilangan katil bukan ICU dan ICU untuk kes Covid-19, mobilisasi petugas kesihatan dan aset dari daerah atau negeri lain, evakuasi pesakit melalui pengangkutan udara ke hospital rujukan lain serta penubuhan PKRC yang dikendalikan oleh pihak swasta.

Terdahulu pada 9 September, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan pelancong domestik yang memenuhi kriteria SOP dari seluruh negara boleh mengunjungi Pulau Langkawi.

Kelonggaran ini turut melibatkan mereka dari negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN), mulai 16 September ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram