EKSKLUSIF

Ibu bapa, penjaga punca PdPR dianggap gagal


  • Massa
  • Khamis, 02 Sep 2021

IBU bapa harus bijak membahagikan masa bagi memantau pembelajaran anak-anak. — Gambar Hiasan/Majoriti

GOLONGAN ibu bapa dan penjaga perlu memberikan keseimbangan di antara tanggungjawab kerja dan perhatian terhadap anak-anak bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) berjaya mencapai objektif seperti mana dikehendaki secara total.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, rentetan pandemik Covid-19 yang memaksa berlaku perubahan dalam proses pembelajaran berbanding secara bersemuka sebelum ini, peranan ibu bapa atau penjaga dilihat menjadi faktor lebih besar berbanding guru demi memastikan pelajar tidak keciciran.

"Ibu bapa bukannya disuruh mengajar, sebaliknya lebih menjurus kepada pendorong terhadap anak masing-masing.

“Kalau boleh mengajar lagi bagus dan kalau tidak faham, mereka (ibu bapa) boleh tanya kepada guru. Ini untuk kebaikan anak mereka juga," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, sejauh mana keberkesanan PdPR bukan saja melibatkan kreativiti guru serta kehadiran pelajar dalam kelas maya.

Sebaliknya, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berpandangan, tekanan terhadap guru akan lebih meningkat jika tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada ibu bapa.

“Kalau ibu bapa bekerja di rumah, mereka perlu beri keseimbangan kepada anak-anak dan pastikan mereka berdisiplin dalam proses PdPR.

“Saya cadangkan, tempoh 10 ke 15 minit terakhir setiap sesi dapat digunakan untuk interaksi antara guru dan penjaga. Kalau ada masalah, guru boleh bincang dengan pengetua.

“Saya juga berharap supaya setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan dapat dijadikan sebagai tempat rujukan oleh kesemua pihak supaya setiap permasalahan atau sejauh mana keberkesanan PdPR dapat dipanjangkan sekali gus diselesaikan secara saksama,” katanya.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

pdpr, guru, Aminuddin, nutp