'Terima tawaran Ismail Sabri, tapi tolak ajakan Muhyiddin'


  • Tular
  • Sabtu, 11 Sep 2021

ANWAR sambut baik tawaran Perdana Menteri dalam Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan pada Jumaat. — Majoriti

DATUK Seri Anwar Ibrahim seolah-olah menjilat ludahnya sendiri apabila menyambut baik tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan diumumkan pada Jumaat.

Tawaran itu antara lain menyebut bahawa ketua pembangkang akan diberi saraan dan kemudahan setara menteri, manakala ahli parti pembangkang juga akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, ketua pembangkang itu berkata, beliau mengalukan ikhtiar kerajaan melaksana sejumlah penambaikan bagi Parlimen dan pentadbiran kerajaan.

“Ini adalah satu permulaan yang baik susulan daripada pertemuan saya dan pimpinan Pakatan Harapan bersama Perdana Menteri pada 25 Ogos lalu,” katanya.

WhatsApp Image 2021-09-11 at 4.26.27 PM

Ciapan Anwar di laman Twitter pada Sabtu.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, wajar ditegaskan tuntutan agar pembangkang diberi layanan setimpal dan akan memainkan peranan sewajarnya dalam menyemak dan mengimbangi pihak Eksekutif.

“Kami akan sentiasa lantang memperjuangkan keadilan untuk rakyat,” katanya.

Kenyataan terbaharu Anwar itu menjadi sohor kini di Twitter kerana ia jelas berlawanan dengan apa yang pernah diperkatakan beliau sebelum ini.

Ini kerana Anwar pada Ogos lalu mengakui bahawa beliau terkejut dengan keputusan pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang mempunyai jumlah perwakilan hampir seimbang di Dewan Rakyat yang dibuat Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menganggap tawaran setara dengan Menteri Kanan yang diberikan itu adalah satu penghinaan terhadapnya.

“Saya tidak langsung terfikir ini satu keputusan yang wajar dan munasabah. Takkanlah ini ya, boleh dibuai (boleh termakan dengan tawaran tersebut).

“Saya fikir ia adalah sangat mengaibkan, bagi saya ia satu penghinaan. Ada orang kata tahniah sekarang macam Menteri Kanan, saya kata itu penghinaan,” katanya ketika itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Anwar, menteri, tawaran