PAS sokong Ahmad Maslan dilantik Timbalan Speaker Parlimen baharu


  • Politik
  • Sabtu, 11 Sep 2021

Idris turut memandang positif berhubung kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh Ahmad dan berpendapat seseorang individu masih belum boleh dikatakan bersalah selagi kesalahan belum dibuktikan. — Bernama

PAS menyatakan sokongan terhadap perlantikan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan bagi menggalas jawatan Timbalan Speaker Parlimen baharu pada persidangan Parlimen, Isnin ini, kata Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad.

Beliau berkata, 18 ahli Parlimen daripada parti tersebut turut diyakini memberikan sokongan sama kepada Setiausaha Agung Umno itu bagi mengantikan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatan dua minggu lalu.

"Insya-ALLAH, 18 orang ahli Parlimen PAS akan berikan sokongan kepada Ahmad," katanya pada sidang akhbar selepas Program Sumbangan Musa'adah Bencana Banjir Kepala Air Menteri Agama di Pusat Rekreasi Titi Hayun, Yan, Kedah pada Sabtu.

Pada masa sama, Idris turut memandang positif berhubung kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh Ahmad dan berpendapat seseorang individu masih belum boleh dikatakan bersalah selagi kesalahan belum dibuktikan.

"Berkenaan hukuman tersebut selagi hukuman tidak dijatuhkan, kita tidak boleh menganggap orang itu bersalah," jelasnya.

Terdahulu Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dilapor telah mengesahkan Ahmad sebagai calon tunggal daripada blok kerajaan untuk dilantik sebagai Timbalan Speaker Parlimen baharu pada persidangan Parlimen minggu depan. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram