Kerajaan pertimbang cadangan wujud sekolah sukan OKU


  • Podium
  • Ahad, 12 Sep 2021

MALAYSIA meraih tiga emas dan dua perak dalam temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 baru-baru ini. — Bernama

KEMENTERIAN Belia dan Sukan menyambut baik cadangan Senator Datuk Ras Adiba Radzi supaya kerajaan mewujudkan sekolah sukan pertama bagi orang kurang upaya (OKU).

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya akan mempertimbang dan memperhalusi cadangan tersebut dalam usaha memperkaskan lagi golongan OKU dalam sektor sukan.

"Kita ucapkan terima kasih atas saranan Yang Berhormat itu kerana ia satu cadangan yang amat baik.

"Namun kita perlu memperhalusi dan mungkin seterusnya akan mengadakan perbincangan dengan kementerian berkaitan seperti Kementerian Pendidikan untuk memikirkan membuka satu sekolah khas bagi pembangunan sukan atlet para negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Latihan Memanah Para Negeri Perak di Padang Jabatan Veterinar Perak di Ipoh pada Ahad.

Jelas Ahmad Faizal, Kementerian Belia dan Sukan juga menaruh harapan tinggi agar cadangan sekolah sukan itu dapat direalisasikan memandangkan pencapaian atlet para negara terbukti telah mengharumkan nama negara di peringkat dunia.

Sebelum ini, Ras Adiba yang mewakili golongan OKU di Dewan Negara mencadangkan pembinaan sekolah sukan pertama bagi OKU untuk memastikan golongan itu terus cemerlang dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan perlu terus melipat gandakan usaha memperkasakan dan pembangunan OKU selari dengan kejayaan atlet OKU dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020 baru-baru ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal meminta masyarakat tidak memberi tekanan yang tidak adil kepada atlet para negara kerana dikhuatiri boleh mengganggu kehidupan mereka.

Dalam apa juga situasi, katanya, sokongan dan keyakinan lebih diperlukan oleh kumpulan atlet itu bagi memastikan emosi mereka tidak terus tertekan atau terganggu.

"Lebih elok kita bercakap perkara yang 'move forward' dan bukannya yang mengecam atau sebagainya. Kita kena belajar daripada apa yang kita alami.

"Seperti apa yang berlaku kepada Ziyad (atlet lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli), saya setuju dengan pandangan untuk kita berhenti bercakap atau mengecam. Sebagai rakyat Malaysia kita kenalah beri mereka keyakinan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram