PERALIHAN ke fasa endemik pada penghujung Oktober yang dicadangkan oleh kerajaan dilihat masih terlalu awal berikutan kemunculan varian-varian baharu yang masih tidak diketahui tahap bahayanya, kata pakar kesihatan.
Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Seri Dr Zulkornain Ahmad berpendapat tempoh dua atau tiga bulan lagi adalah lebih sesuai untuk negara bergerak ke fasa endemik.
"Kita masih tidak tahu bagaimana varian-varian baharu ini bertindak, kadar kebolehjangkitannya dan tahap serius jangkitannya semua masih lagi dalam penyelidikan.
"Pada pandagan saya, kita jangan terlalu ambitious (bercita-cita tinggi) kerana kita baru sahaja hendak melihat cahaya di penghujung lorong... Penghujung November atau Disember adalah lebih sesuai," katanya kepada Majoriti.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa pihaknya akan berbincang dengan tiga menteri Kabinet bagi membincangkan langkah penyesuaian dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika negara menuju ke fasa endemik.
Tiga menteri yang dimaksudkan adalah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Zulkornain menyatakan kebimbangannya akan kemungkinan berlakunya kenaikan kes secara mendadak jika kerajaan mula melonggarkan pelbagai sekatan jika kerajaan mula melonggarkan sekatan-sekatan sedia ada pada penghujung Oktober ini.
"Jika kerajaan sudah mula melonggarkan sekatan, agak sukar untuk mengetatkannya kembali kerana sudah pasti orang ramai akan protes disebabkan jumlah vaksinasi ketika itu sudah mencapai sasaran," jelasnya.
Bergantung kepada rakyat
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, kejayaan negara beralih kepada fasa endemik hujung Oktober ini akan bergantung sepenuhnya kepada kepatuhan rakyat terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
"Pucuk pangkalnya, walau apa pun yang kerajaan tetapkan, jika orang ramai sudah mula rasa selesa dan mula bersikap sambil lewa, semua itu akan menjadi sia-sia," ujarnya.
Selain itu, katanya, kerajaan tidak boleh terburu-buru membuka kesemua tempat-tempat awam dan tidak membenarkan penganjuran acara-acara yang melibatkan orang ramai berkumpul.
"Masjid, rumah ibadat, sekolah dan lain-lain lokasi awam harus dibuka secara beransur-ansur dan majlis-majlis seperti kenduri kahwin serta acara berkumpul lain harus dilarang sama sekali bagi mengelakkan Covid-19 menjadi wabak besar semula," katanya.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram