BEKAS Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan meninggal dunia pada jam 10.15 pagi ini.
Berita sedih ini dikongsikan oleh Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz menerusi Facebook miliknya.
“Saya mendapat berita Tan Sri Zaman Khan baru saja meninggalkan kita. Moga rohnya ditempatkan bersama para anbiya dan para solihin. Bacalah al-Fatihah untuk Tan Sri,” katanya.
Difahamkan jenazah Allahyarham Zaman Khan dibawa ke Masjid Bukit Aman untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Asar.
Awal bulan lalu, Allahyarham dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dilaporkan pengsan ketika menunggu janji temu dengan doktor.
Allahyarham juga pernah menjalani rawatan di hospital yang sama pada Januari tahun lalu susulan mengalami pendarahan dalam usus.
Sepanjang perkhidmatannya sebagai Pengarah JSJ Bukit Aman, Allahyarham terbabit dalam kes berprofil tinggi termasuk kes Botak Chin (Wong Swee Chin) dan P Kalimuthu, yang dikenali sebagai Bentong Kali.
Selain itu, Allahyarham juga antara pegawai kanan polis terawal berada di lokasi kejadian ketika tragedi kondominium Highland Towers yang berlaku pada 1993.
Untuk rekod, Allahyarham pernah menabur khidmat sebagai Ketua Polis Selangor bermula 1975 hingga 1978 sebelum menamatkan perkhidmatan dalam pasukan beruniform sebagai Ketua Pengarah Penjara pada 1997. - Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram