Pengantin baharu 'rentas daerah' rakam detik bahagia di Putrajaya


  • Massa
  • Sabtu, 11 Sep 2021

MOHD Fauzi Amin dan pasangannya, June Asmerahawa rakam detik istimewa di Putrajaya semalam. — Bernama

PENGANTIN baharu, Mohd Fauzi Amin dan pasangannya June Asmerahawa Minhad tampil dengan cara tersendiri untuk menyemat memori indah selepas selamat bergelar suami isteri.

Selepas pengumuman peralihan Lembah Klang ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), Mohd Fauzi dan June Asmerahawa tidak menunggu lama untuk ‘merentas daerah’ dari Kuala Lumpur ke Putrajaya.

Sejurus selepas akad nikah di Pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Kuala Lumpur, kedua-duanya segera ke bandar pentadbiran negara itu untuk merakamkan detik kegembiraan berlatarbelakangkan panorama Putrajaya.

Lengkap berbusana pengantin berwarna putih berserta memakai pelitup muka, Mohd Fauzi, 29, dan June Asmerahawa, 33, yang tiba di Dataran Putra pada pukul 6 petang menarik tumpuan pengunjung yang beriadah di lokasi itu dengan aksi romantis ketika bergambar.

"Putrajaya memang terkenal dengan pemandangan cantik. Bila boleh merentas, kami buat keputusan untuk datang ambil gambar di tempat ini.

"Bila dah beralih masuk Fasa 2 (PPN) ini memang mudahlah urusan perkahwinan kami kerana sudah tiada sekatan jalan raya, jimat masa perjalanan dan urusan lain," kata Mohd Fauzi yang menetap di Sentul.

Beliau tidak menyangka kegembiraan berpeluang ke Putrajaya untuk merakamkan detik indah itu juga hadir pada hari bahagianya kerana sebelum ini aktiviti rentas daerah adalah tidak dibenarkan dan terdapat sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri.

Pasangannya, June Asmerahawa berkata, perancangan asal adalah merakam gambar perkahwinan mereka di sekitar ibu negara seperti KLCC dan Taman Tasik Titiwangsa.

"Bila rentas sempadan daerah dibuka kami terus datang ke Putrajaya kerana pemandangan di kawasan ini amat cantik,” katanya.

Bercerita tentang urusan akad nikah, June Asmerahawa cukup gembira dan bersyukur selepas tertangguh sejak enam bulan ekoran pelbagai halangan yang terpaksa dihadapi.

"Majlis akad nikah pun berjalan lancar dengan ikut SOP (prosedur operasi standard). Pasangan yang berkahwin di JAWI perlu buat ujian saringan Covid-19 dan ia (SOP) ketat bagi memastikan tidak berlaku penularan di tempat itu,” katanya.

Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penduduk Lembah Klang yang sudah melengkapkan vaksinasi Covid-19 boleh merentas sempadan daerah berikutan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke Fasa Dua PPN. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

pengantin, daerah, halangan, rentas, kahwin