EKSKLUSIF

Risiko jatuh bangunan, syor aspek keselamatan bangunan tinggi diperketat


  • Massa
  • Sabtu, 11 Sep 2021

ASPEK keselamatan dan penyelenggaraan bangunan tinggi perlu dititikberatkan bagi keselesaan penduduk khususnya ketika pandemik Covid-19 - The Star

KEMENTERIAN Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Badan Pengurusan Bersama (JMB) digesa untuk mempertingkatkan faktor keselamatan bangunan tinggi bagi mengelak risiko jatuh bangunan.

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan, sebanyak 366 kes bunuh diri dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tiga bulan pertama tahun ini dan kes itu meningkat kepada 631 kes pada tahun lepas berbanding 609 kes pada 2019.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, syor itu disifatkan perlu bagi mengatasi risiko tindakan terjun bangunan segelintir individu yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

lee

Tan Sri Lee Lam Thye

"Kesihatan mental agak serius sepanjang pandemik Covid-19. Sudah lama orang ramai stres kerana hanya berada di rumah dan semua ini membawa kepada tekanan hidup hingga boleh menjejaskan kesihatan mental.

“Suasana di rumah pangsapuri atau flat tidak begitu konduksif tetapi orang tiada pilihan. Orang di PPR (Projek Perumahan Rakyat) juga perlu fikir soal keselamatan mereka," katanya kepada Majoriti.

Lam Thye memberitahu, selain faktor keselamatan, penyelenggaraan bangunan tinggi juga wajar diambil kira bagi menangani isu tekanan hidup rakyat yang terkesan dengan pandemik.

“Saya selalu dengar aduan penduduk mengatakan masalah berkaitan penyelenggaraan.

“Aspek ini cukup penting, jadi semua pihak termasuk pihak berkuasa dan JMB perlu pastikan penyelenggaraan berada pada tahap terbaik,” tegasnya.

Dalam pada itu, mana-mana individu termasuk pemilik dan penyewa yang mengabaikan faktor keselamatan di bangunan tinggi boleh dikenakan notis bahaya kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) jika didapati melanggar undang-undang merangkumi Jadual 10 Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984.

Jurucakap Bomba Bahagian Keselamatan Kebakaran berkata, notis bahaya kebakaran itu termasuk kegagalan mematuhi pemasangan sistem pancur basah (wet riser), sistem penggera kebakaran, alat pemadam api di setiap tingkat bangunan serta pintu rintangan api tidak dikunci atau dihalang.

"Faktor kesedaran umum berhubung keselamatan khususnya bahaya kebakaran melibatkan bangunan tinggi masih di tahap membimbangkan, justeru kami menggesa orang ramai dapat menyalurkan maklumat tepat berhubung perkara itu kepada pihak Bomba untuk tindakan selanjutnya

"Kegagalan mematuhi undang-undang dalam Jadual 10 Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 boleh menyukarkan usaha Bomba jika berlaku kebakaran ataupun kejadian lain yang tidak diingini termasuk jatuh bangunan," katanya.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Covid, Lee Lam Thye, rumah, bahaya