Selesaikan sijil vaksin MySejahtera dalam tempoh seminggu - KJ


  • Primer
  • Khamis, 09 Sep 2021

PASUKAN MySejahtera sudah pun diminta mencari penyelesaian berhubung isu sijil digital vaksin. — Bernama

ISU sijil digital di aplikasi MySejahtera bagi individu yang lengkap divaksin akan diselesaikan dalam tempoh seminggu, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Ketika ini, kementerian itu sudah pun mengarahkan pasukan MySejahtera mencari solusi selepas timbul kebimbangan dalam kalangan orang ramai berhubung ketiadaan sijil digital walaupun sudah lengkap divaksin.

Khairy berkata, ketika ini individu yang sudah lengkap dos vaksin Covid-19 boleh menggunakan kad fizikal yang diberikan.

"Semua masalah berkaitan MySejahtera, saya sudah mengarahkan pasukan MySejahtera untuk selesaikan dengan segera termasuk masalah tidak ada sijil digital.... saya beri mereka tempoh seminggu untuk selesaikan," katanya ketika sidang media Covid-19.

Selain itu, individu yang menerima suntikan vaksin menerusi program Vaksin Selangor (SelVAX) boleh menggunakan sijil digital dalam SELANGKAH sehingga mendapat sijil digital di aplikasi MySejahtera.

Mengenai permintaan yang semakin meningkat untuk membolehkan individu bujang berkunjung ke luar negara bagi melawat ibu bapa mereka, Khairy berkata perkara itu sedang dibincangkan.

"Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa melihat kepada data dan penilaian risiko. Saya sentiasa membincangkan perkara ini dengan Ketua Pengarah (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) dan kami berpendapat bahawa sudah tiba masanya untuk kita membuat syor kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Justeru, Khairy meminta orang ramai supaya bersabar bagi membolehkan KKM melihat indikator penting seperti soal kapasiti kesihatan di tahap yang baik untuk membuat syor kepada MKN supaya aktiviti rentas negeri dibenarkan.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram