Rentas negeri: Bukan sekadar melancong


  • Massa
  • Jumaat, 10 Sep 2021

PENGUSAHA hotel ketika ini hanya menerima pengunjung dari negeri yang sama berikutan larangan merentas negeri masih berkuat kuasa. — LIM BENG TATT/The Star

KEBENARAN menginap di hotel atau inap desa bagi individu yang lengkap dua dos di Lembah Klang semata-mata tidak berupaya untuk merancakkan kembali industri pelancongan negara yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Justeru itu, Persatuan Hotel Malaysia berharap kerajaan mempertimbangkan semula kebenaran merentas negeri kepada individu yang sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19 bagi merancakkan kembali industri pelancongan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata, pengusaha hotel tidak akan menerima ramai pelanggan meskipun aktiviti pelancongan membabitkan penginapan di hotel dan inap desa bagi individu yang lengkap dua dos dibenarkan di Lembah Klang.

Jelasnya, masyarakat mungkin tidak akan melancong di kawasan terbabit dalam masa terdekat memandangkan kes jangkitan Covid-19 masih tinggi.

“Jika kita lihat, ketika kerajaan membenarkan orang ramai untuk melakukan staycation satu ketika dulu, industri hotel masih belum melihat peningkatan pelanggan yang mendadak.

“Jadi saya rasa situasi sama akan berlaku apabila staycation dibenarkan pada Jumaat,” katanya.

Yap berkata, pengusaha hotel ketika ini hanya menerima pengunjung dari negeri yang sama berikutan larangan merentas negeri masih berkuat kuasa.

“Industri masih memerlukan kebenaran merentas negeri untuk menggiatkan semula pelancongan domestik.

“Pada masa ini, pemain industri hanya boleh bergantung kepada aktiviti staycation di dalam kawasan atau negeri tersebut,” katanya.Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram