TIADA keluarga terdekat yang menggalakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berundur dari pentas politik, meskipun beliau menerima beberapa tawaran lebih menarik.
Ketua pembangkang itu berkata, tawaran itu termasuk sebagai profesor di Amerika Syarikat (AS) serta penasihat kepada Presiden Turki, Recep Tayyib Erdogan.
“Isteri, Azizah (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) dan anak-anak pernah kata (ajak) kita rehat sekejap, dengan family (keluarga) sekejap dan kita bincang. Itu ada.
“Tetapi, kalau nak kata kita undur ataupun kita sudahlah (setakat ini sahaja) tiada, “ katanya ketika temubual Segmen Spontan yang dihoskan oleh Afdlin Shauki di laman Facebooknya pada Sabtu.
Anwar berkata, sekiranya seseorang memikirkan untuk membuat sesuatu khususnya dalam agenda perjuangan, ia telah menjadi tanggungjawab individu itu meskipun belum mengetahui bila matlamatnya akan tercapai.
Katanya, beliau tidak hairan melihat individu kelihatan hebat yang kecundang.
“Kalau kita rasa susah payah sedikit, tak boleh dan banyak yang kecundang. Banyak orang yang bergegar-gegar berpidato bawa perubahan.
“Kemudian, bila kena ugut, buat beberapa kesilapan atau di suap sikit, ia jadi terbalik.
“Ini satu ujian kepada anak-anak muda bahawa dia harus tahu kalau dia mahu istiqamah dalam perjuangan dan landasan, dia tak peduli sama ada kalau ada janggut, serban atau pakaian biasa. Yang penting jiwa dan semangat yang kental.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada timbul perasaan letih dalam perjuangannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram