Isu kesihatan mental petugas kesihatan ke Parlimen


  • Politik
  • Jumaat, 10 Sep 2021

PENGORBANAN tanpa henti oleh petugas kesihatan harus mendapat pembelaan dan perhatian, kata Anwar. — Majoriti

ISU kesihatan mental petugas kesihatan perlu menjadi perkara utama disentuh ketika sidang Parlimen yang bakal diadakan pada 13 September ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang itu membangkitkan perkara berkenaan setelah meneliti laporan mengenai luahan para petugas kesihatan yang mengalami tekanan dan gangguan emosi sepanjang bertugas memerangi wabak.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, pengorbanan tanpa henti oleh mereka yang terlibat harus mendapat pembelaan dan perhatian.

Justeru, beliau mendesak kerajaan supaya memberi fokus terhadap aspek pengurusan, persekitaran kerja, keperluan asas, penjagaan kesihatan dan keselamatan kakitangan yang bertugas di mana-mana fasiliti kesihatan dengan lebih berkesan.

“Saya melihat keperluan untuk mempunyai pendekatan memerangi Covid-19 tidak hanya dalam strategi mengawal penularan, tapi harus termasuk tahap emosi dan kesihatan mental para petugas kesihatan.

“Ini harus diambil kira oleh Menteri Kesihatan yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media tempatan melaporkan lebih 70,000 petugas Kementerian Kesihatan (KKM) berdepan pelbagai gangguan emosi seperti stres, kemurungan dan kecelaruan, serta kelesuan melampau, selepas 20 bulan melawan pandemik Covid-19 secara berterusan.

Segelintir daripadanya mengaku menangis setiap hari selama sebulan apabila pulang ke rumah, stres, berasa tidak berguna kerana tidak dapat menyelamatkan pesakit, selain kemanusiaan diri tercabar apabila terpaksa memilih pesakit yang perlu 'dilepaskan' setiap hari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

.

mental, kesihatan, Parlimen, Anwar Ibrahim