GURU Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) antara kumpulan yang mungkin tidak dibenarkan bertugas jika masih berdegil dan enggan mengambil vaksin Covid-19, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Selain guru KAFA, baginda bertitah, pegawai-pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin, bakal menerima tindakan yang sama.
Baginda bertitah berdasarkan laporan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) seramai 326 guru KAFA di Selangor masih belum mendapat suntikan vaksin Covid-19 manakala 95 guru enggan menerima suntikan berkenaan.
Laporan itu melibatkan maklumat pengambilan vaksin Covid-19 dalam kalangan guru-guru KAFA, pegawai-pegawai masjid dan surau serta jurunikah di Negeri Selangor di bawah pentadbiran JAIS.
Selain itu, 59 pegawai masjid belum mendapat suntikan vaksin Covid-19 manakala 11 orang enggan menerima suntikan. Sembilan jurunikah juga belum divaksin manakala enam yang lain dikenal pasti enggan menerima suntikan itu.
Baginda menzahirkan kebimbangan mengenai keselamatan pelajar-pelajar di sekolah jika guru-guru berkenaan dibenarkan bertugas.
"Bagi golongan yang memilih untuk tidak mahu divaksin, beta amat dukacita kerana mereka akan membahayakan diri mereka sendiri dan orang ramai.
"Golongan ini sepatutnya mengetahui bahawa jika seseorang itu dijangkiti dengan virus Covid-19, suntikan vaksin akan dapat mengelakkan mereka daripada menerima kesan yang lebih buruk," titah baginda menerusi satu hantaran Facebook rasmi Selangor Royal Office.
Baginda turut menyeru rakyat Selangor supaya mendapatkan suntikan vaksin untuk kebaikan diri sendiri dan juga masyarakat sekelilling. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram