'Adiknya dalam keadaan tertekan tidak dapat jumpa keluarga'


  • 112
  • Rabu, 08 Sep 2021

KEADAAN cermin masjid yang pecah akibat ditumbuk seorang lelaki di Taman Scientex, Johor. — Facebook

LELAKI yang ditemukan meninggal dunia dengan kesan luka dipercayai mengalami tekanan perasaan kerana tidak dapat berjumpa keluarganya, lapor siasatan awal polis.

Jurutera kimia berusia 28 tahun ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada pergelangan tangan serta kaki kanan, di rumah sewanya di Taman Scientex dekat sini pagi Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata polis menerima makluman mengenai lelaki itu pada kira-kira 7.35 pagi Ahad, dan mayat telah dirujuk ke Hospital Sultan Ismail di sini untuk proses bedah siasat.

Katanya kes itu diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut berdasarkan hasil bedah siasat.

"Hasil bedah siasat mendapati sebab kematian adalah luka parah di pergelangan tangan kanan saluran darah alteri, dan urat tendon terputus akibat tumbukan pintu cermin kaca.

"Siasatan awal mendapati pada malam sebelumnya lelaki berumur 28 tahun itu dikatakan mengamuk di Masjid Taman Scientex yang berdekatan dengan rumahnya apabila mendapati pintu masjid ditutup selepas waktu Isyak.

"Dia bertindak menumbuk pintu cermin hadapan masjid itu hingga pecah, menyebabkan tangannya berlumuran darah. Di lantai masjid terdapat kesan tompokan darah. Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki itu telah menumbuk sebanyak dua kali pintu cermin itu sehingga pecah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, kakak lelaki itu memberitahu bahawa adiknya yang merupakan jurutera kimia sebuah syarikat berada dalam keadaan tertekan kerana tidak dapat melawat keluarga di Kuala Berang, Terengganu, sejak kira-kira enam bulan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram