SEORANG lelaki yang maut selepas selepas terjatuh ketika melakukan kerja mengecat di sebuah kilang di Jalan Kapar pada Ahad didapati tidak dibekalkan dengan peralatan perlindungan diri.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor dalam satu kenyataan memberitahu, mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Perkara itu disahkan pasukan perubatan Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Dalam kejadian pada 10.30 pagi itu, mangsa, seorang lelaki warga Myanmar berusia 60 tahun sedang melakukan kerja pengubahsuaian di tingkat enam kilang berkenaan.
"Dia dipercayai tergelincir jatuh dari sebuah platform tanpa hadangan setinggi 15 meter ke atas lantai kilang.
"Pihak JKKP telah menghantar sepasukan pegawai penyiasat diarahkan untuk menjalankan siasatan menyeluruh," katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, berdasarkan siasatan awal, Notis Larangan Serta Merta (NOP) dikeluarkan bagi memberhentikan semua kerja-kerja yang berkaitan.
Jelas JKKP, satu Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu juga dikeluarkan bagi menghentikan semua aktiviti pengubahsuaian dan pembinaan di kilang tersebut.
"Tindakan undang-undang akan diambil ke atas pihak bertanggungjawab sekiranya didapati wujud pelanggaran Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang Dan Jentera 1967.
"JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam," ujarnya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
