EKSKLUSIF

Benarkan sekolah laksanakan sistem pembelajaran hibrid


  • Massa
  • Sabtu, 11 Sep 2021

KONSEP gelembung dan pematuhan kepada SOP sedia ada dapat melindungi pelajar di sekolah. — Gambar hiasan/The Star

KEMENTERIAN Pelajaran perlu menerapkan sesi pembelajaran secara hibrid terutama sekali di sekolah-sekolah yang mana staf mereka masih belum menerima vaksinasi lengkap, tegas pakar.

Pakar Kesihatan Persekitaran dan Toksikologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Hasni Jaafar berkata, sekolah perlu diberi pilihan untuk mengadakan sesi pembelajaran secara hibrid terutama sekali jika kadar vaksinasi dalam kalangan guru mereka masih belum 100 peratus.

"Sekolah yang belum mencapai 100 peratus vaksin perlu dibuka secara berperingkat.

"Kelas boleh diadakan secara hibrid sehingga semua staf - guru-guru, mak cik kantin, tukang kebun, pembantu makmal, sudah menerima vaksin lengkap," katanya kepada Majoriti.

Dr Mohd Hasni berkata, sekolah perlu diberi pilihan untuk mengadakan sesi pembelajaran secara hibrid terutama sekali jika kadar vaksinasi dalam kalangan staf mereka masih belum 100 peratus. — Gambar kredit: Utusan Malaysia

Dr Mohd Hasni berkata, pembelajaran secara hibrid ini juga boleh digunapakai di kawasan yang mempunyai kes harian baharu Covid-19 yang tinggi demi memastikan pelajar terutama sekali yang bakal menduduki peperiksaan utama, dapat meneruskan sesi pelajaran mereka.

Jelas beliau, sekolah juga perlu menganggap murid sebagai pelanggan atau klien dan apa sahaja perlu dilakukan demi melindungi mereka.

"Murid perlu dianggap seperti klien, kementerian perlu fikir macam mana nak lindungi klien ini.

"Saya lebih suka kepada konsep gelembung, semua orang telah mendapat dua dos vaksin, prosedur operasi standard (SOP) sedia ada juga perlu terus dilaksanakan terutama sekali dalam kalangan murid-murid," katanya.

Dalam pada itu, Profesor Kehormat Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dr Jamal Hisham Hashim berkata, guru termasuk pelajar tingkatan 5 dan 6 yang bakal memulakan sesi pembelajaran pada 3 Oktober sepatutnya mendapat suntikan vaksinasi yang lengkap terlebih dahulu.

"Semua pelajar tingkatan 5 dan 6, guru dan staf sekolah yang lain perlu diberi vaksinasi lengkap.

"Mereka juga perlu mematuhi SOP yang ketat, penjarakan sosial dan memastikan pengudaraan dalam bangunan baik untuk mengurangkan risiko penyebaran virus Covid-19. Pergerakan dan interaksi di luar kelas juga perlu dihadkan," katanya.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram