KERAJAAN perlu menilai kembali pembukaan sesi persekolahan pada Oktober dan memberi fokus kepada pemberian vaksin secara menyeluruh kepada pelajar di negara ini.
Pandangan itu disuarakan Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan yang berpendapat sebaiknya sesi persekolahan dibuka semula pada tahun hadapan secara berperingkat.
Katanya, saranan ini perlu diambil kira berdasarkan soal selidik yang dijalankan baru-baru ini mendapati, sebanyak 75 peratus ibu bapa tidak bersetuju dengan pembukaan sekolah pada bulan Oktober atas faktor bimbangkan keselamatan anak mereka.
Tambahnya, ada juga kalangan ibu bapa mereka tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah atas sebab yang sama.
Sehubung itu katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KKM) perlu memperhalusi mekanisme pemberian vaksin dan prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sekolah bagi membendung penularan semula Covid-19.
MOHAMAD Ali berpendapat sesi persekolahan perlu dibuka semula pada tahun hadapan secara berperingkat. — The Star
"KKM perlu memperjelas mekanisme dan tindakan mereka untuk berdepan dengan sebarang situasi melibatkan vaksinasi pelajar, ibu bapa, guru dan kakitangan sekolah.
"Ini berikutan terdapat banyak persoalan yang berbangkit terutama tentang keselamatan pelajar sekiranya ada pihak-pihak yang kembali ke sekolah tanpa divaksin," katanya kepada Majoriti.
Tambah beliau, SOP dalam segala aspek termasuk pembelajaran secara bersemuka, aktiviti sekolah dan sebagainya perlu diperhalusi dan diperjelaskan KKM bagi mengembalikan keyakinan ibu bapa.
Mohamad Ali turut mengutarakan persoalan tentang tindakan KKM terhadap guru yang tidak mahu divaksin atas pilihan sendiri.
Hurainya, adakah pihak KKM akan mengenakan tindakan tegas terhadap mereka seperti yang dilakukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Apakah juga tindakan KKM untuk pelajar yang memilih untuk tidak mahu divaksin?
"Adakah mereka diberi kebenaran untuk ke sekolah atau sebaliknya? Begitu juga dengan orang luar yang berurusan dengan sekolah. Apakah SOP yang gariskan buat mereka," ujarnya.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram