'Jangan paksa jika ibu bapa was-was'


  • Berita
  • Jumaat, 10 Sep 2021

KERAJAAN perlu ambil langkah prihatin dan berhati-hati untuk pelaksanaan pemberian vaksin kepada golongan pelajar. — The Star

TIDAK perlu paksa ibu bapa pelajar jika mereka was-was dan tidak mahu anak mereka menerima vaksin, kata Pengerusi Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim.

Katanya kepada Majoriti, dia mengakui terdapat ibu bapa yang tidak setuju dengan pemberian vaksin kepada pelajar kerana bimbang terhadap kesan sampingannya terhadap anak mereka.



NOOR Azimah berharap agar ibu bapa yang menolak vaksin untuk anak mereka supaya sentiasa memantau kesihatan anak-anak. — Facebook

Jelas beliau lagi, ia merupakan maklum balas yang dijangka daripada golongan ibu bapa yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap kesihatan anak mereka.

"Golongan ini tidak oleh dipaksa untuk ambil vaksin tetapi kita hanya boleh setakat menasihati mereka supaya sentiasa yakin dengan berita yang sahih dan terkini.

"Apa yang penting kita harapkan supaya mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan sentiasa pantau kesihatan anak-anak setiap hari," katanya.

Walaubagaimanapun, Noor Azimah berkata pihaknya tetap bersetuju dengan tindakan pemberian vaksin kepada golongan pelajar.

Tapi katanya ia perlu dilaksanakan dengan syarat, langkah prihatin dan langkah berjaga-jaga.

Mengulas tentang pembukaan sekolah pada 3 Oktober depan, Noor Azimah memberitahu yang paling utama dalam hal ini adalah memastikan majoriti pelajar mendapat vaksin terlebih dahulu.

"Kita harapkan supaya pemberian vaksin dapat dilakukan secepat mungkin tanpa melambatkan pembukaan sekolah.

"Pada masa sama, kita harap supaya keselamatan dan kesihatan pelajar dan kanak-kanak terutamanya sentiasa terpelihara," ujarnya.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PAGE, Noor Azimah, vaksin, pelajar, ibu bapa, Covid-19