BILANGAN kes baharu Covid-19 di negara pada Sabtu mencatatkan sedikit penurunan iaitu 19,550 kes berbanding 21,176 kes pada Jumaat.
Penambahan itu menjadikan 1,960,500 kes secara keseluruhan setakat ini.
Sarawak masih merekodkan kes harian tertinggi dengan pertambahan 10 kes iaitu 3,743 kes diikuti Selangor 2,416 kes, Johor (2,282), Sabah (2,163) dan Pulau Pinang (1,865).
Manakala Kedah mencatatkan 1,390 kes, Perak (1,354), Kelantan (1,320), Terengganu (953), Pahang (722), Kuala Lumpur (555), Melaka (490), Negeri Sembilan (198), Perlis (73), Putrajaya (24), dan Labuan (2).
Bagi status terkini penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) hospital Covid-19 di seluruh negara setakat Sabtu adalah 82 peratus atau 1,595, manakala katil bukan ICU adalah 76 peratus (17,352).
Sebanyak 21,771 jumlah pesakit sembuh akibat jangkitan Covid-19 direkodkan hari ini sekali gus melebihi kes baharu iaitu 19,550.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan kumulatif kes sembuh kini 1,700,733.
Beliau berkata, daripada 19,550 kes harian yang dilaporkan, 265 kes atau 1.4 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 19,285 kes atau 98.6 peratus lagi terdiri daripada kategori satu dan dua.
"Daripada jumlah kes baharu juga, tujuh adalah kes import melibatkan lima warganegara dan dua rakyat asing manakala 19,543 kes melibatkan penularan dalam negara iaitu 17,153 warganegara dan 2,390 rakyat asing.
"Seramai 936 pesakit Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 453 daripadanya perlukan bantuan alat pernafasan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram