'Anwar sudah tahu sejak 4 bulan lepas'


  • Politik
  • Selasa, 07 Sep 2021

AKUAN SD sudah pun diketahu Anwar Ibrahim sejak empat bulan lalu. — Bernama

AKUAN bersumpah (SD) menolak kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sudah diketahui oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak empat bulan lalu.

Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan, Yusuf Tapar berkata, surat SD menolak kepimpinan Aminuddin sudah pun ditandatangani ketua-ketua cabang dan sayap parti serta yang berjawatan dalam Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

"SD itu telah dihantar empat bulan lepas dan dalam pengetahuan Presiden. Sebab itulah kita membuat keputusan untuk membuat kenyataan media berhubung perkara itu.

"Memang saya yang membacakan kenyataan media memorandum itu, tapi ia bukan pendapat saya seorang.

“Itu kenyataan bersama dan telah dibincangkan terlebih dahulu sebelum semuanya bersetuju," katanya yang memaklumkan majlis membaca memorandum itu turut diberitahu kepada mereka yang berikan sokongan.

Antara yang sudah pun menandatangani SD adalah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada PKR.

"Kalau itu kenyataan saya seorang, mereka yang namanya disertakan itu boleh mengambil tindakan terhadap saya. Kenyataan itu sah kerana ia berkait rapat dengan SD yang telah ditandatangani mereka," katanya.

Mengulas mengenai beberapa penafian daripada beberapa cabang, Yusuf berkata, ia tidak ada kaitan dengan mereka kerana sokongan itu datangnya daripada ketua cabang.

"Yang kita pegang adalah ketua-ketua cabang dan mereka bersama dengan kita," katanya yang turut sedia untuk mengadakan dialog bersama Aminuddin.

Tiga Adun daripada PKR Negeri Sembilan pada Isnin menafikan terlibat dalam membuat kenyataan media bahawa telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Aminuddin.

Sementara itu, Timbalan Ketua Cabang Kuala Pilah, Shahran Kaat turut menafikannya dan mendakwa pihaknya tidak pernah memanggil sebarang mesyuarat ahli jawatankuasa bagi mengambil ketetapan dalam isu tersebut.

"Saya ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah bersifat peribadi Ketua Cabang PKR Cabang Kuala Pilah dan tidak melambangkan keputusan sebulat suara daripada ahlinya.

"Justeru beliau telah mengkhianati mandat yang telah diberikan kepadanya dengan membelakangkan pandangan dan suara ahli dalam membuat sesuatu keputusan dengan membabitkan nama cabang di sini," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

anwar, pkr, negeri sembilan