SEORANG penganggur berusia 30 tahun mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Selayang di Kuala Lumpur pada Jumaat, atas 15 pertuduhan melakukan seks luar tabii, amang seksual fizikal dan mencabul dua anak tiri perempuannya antara 2015 dan 2020.
Tertuduh yang memakai baju-T berwarna merah membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Nor Rajiah Mat Zin dan Majistret Nur Hafizah Rajuni.
Di Mahkamah Sesyen, lelaki itu didakwa atas tiga pertuduhan melakukan seks luar tabii dan empat tuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas dua anak tirinya yang kini berusia 19 dan 20 tahun di kediaman mereka di Sri Gombak dekat sini antara 29 Ogos 2015 dan 25 Ogos 2020.
Bagi kesalahan seks luar tabii, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebat.
Bagi kesalahan amang seksual fizikal pula, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Di Mahkamah Majistret, tertuduh berdepan lapan pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud untuk mencabul kehormatan mereka antara 27 Ogos 2015 dan 15 Mac 2017 di lokasi sama.
Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Bagi kes di Mahkamah Sesyen, lelaki itu diberikan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin manakala untuk kes di Mahkamah Majistret pula, dia diikat jamin RM16,500.
Kedua-dua mahkamah juga menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai dan tidak tinggal serumah dengan mangsa serta menetapkan 20 Okt ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria dan Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal manakala tertuduh diwakili peguam Mohammed Fudhail Ahmad Zulaini.
Sebelum prosiding bermula, tertuduh dilihat menangis sambil memandang ke arah ahli keluarganya yang berada di galeri awam. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram