"Perkara akhir berbual tentang anak, kematian dan amalan bersedekah'


  • 112
  • Rabu, 08 Sep 2021

JENAZAH Aidil selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru, Kluang, Johor pada Rabu. — Agensi

KEBIMBANGAN seorang isteri terhadap keselamatan suami ketika bertugas sebagai penolong pegawai perubatan menjadi nyata apabila suaminya, Aidil Hamidun terkorban dalam satu kemalangan pada Selasa.

Ujar Shahira Sabar, 27, dia dibelenggu kebimbangan tentang suaminya sejak insiden kemalangan mengorbankan seorang pemandu van Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika bertugas di Johor Bahru, Johor pada 18 Ogos lalu.

Dia sering membayangkan insiden sama akan menimpa suaminya itu yang bertugas di Klinik Kesihatan Simpang Renggam dan banyak menghabiskan masa di dalam ambulans bagi menghantar pesakit.

Menurut Shahira, kali terakhir dia berbual dengan Aidil, 27, adalah pada pagi sebelum kejadian dan antara perkara dibincangkan adalah soal berkaitan anak, kematian dan amalan bersedekah yang sering mereka lakukan.

"Antara perkara yang akan saya ingati bersama arwah adalah solat berjemaah dan juga makan bersama. Dia seboleh-bolehnya akan tetap makan bersama saya walaupun sibuk dengan tanggungjawabnya," katanya.

Aidil maut selepas ambulans yang dinaiki melanggar bahagian belakang treler berkenaan yang sedang membelok kanan masuk ke sebuah bengkel di Kilometer 77, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam.

"Saya menerima panggilan berkaitan kemalangan yang menimpa suami pada jam 8.45 malam tadi yang ketika itu dia sedang menghantar pesakit ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK),” ujar Shahira.

Sementara itu, bapa mangsa Hamidun Jaafar, 60, tidak menyangka kemalangan berkenaan telah meragut nyawa anaknya pada usia muda namun beliau reda dengan ketentuan Allah itu.

"Aidil merupakan anak kedua daripada tiga orang adik-beradik, dia sememangnya rapat dengan kami dan menjalankan tanggungjawab yang baik sebagai seorang anak, termasuklah memberi duit belanja bulanan kepada saya,” katanya.

Jenazah Aidil selamat dikebumikan kira-kira jam 1.30 tengah hari pada Rabu dengan disaksikan ahli keluarga dan rakan-rakan setugas dari KKM. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kemalangan, maut, van, KKM, Kluang