KIRA-KIRA 41 orang banduan terkorban dalam kejadian kebakaran sebuah penjara di Tangerang, Jawa Timur, Indonesia pada Rabu.
Insiden itu turut menyebabkan lapan orang cedera parah dan berpuluh lagi mengalami kecederaan ringan.
Dua banduan warga asing dari Portugal dan Afrika Selatan merupakan antara banduan yang terkorban.
Menurut Ketua Lapas (Penjara) Kelas 1 Tangerang, Victor Teguh Prihartono menerusi satu kenyataan, punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas.
"Kejadian kebakaran yang terjadi di Lembaga Pemasyarakatan Kelas 1 Tangerang Blok C2 (penjara di Tangerang) pada pukul 1.45 pagi waktu Indonesia Barat," katanya.
Dalam pada itu, Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia, Yasonna Laoly memaklumkan penjara yang dibina pada 1972 itu tidak dilengkapi sistem elektrik terkini.
Setakat pukul 9 pagi pada Rabu, sebanyak 41 banduan yang sedang menjalani hukuman akibat kesalahan berkaitan dadah disahkan maut.
Blok kelas 1 penjara berkenaan menempatkan 122 banduan.
Selain itu, penjara itu dikatakan menempatkan jumlah banduan melebihi kapasiti sehingga 250 peratus.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat dan Protokol, Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia, Rika Aprianti dalam satu kenyataan.
"Penjara itu yang sepatutnya hanya menempatkan 600 banduan tetapi sebaliknya mempunyai 2,072 banduan," menurut beliau. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
