INDUSTRI halal akan terus mendapat keuntungan berikutan institusi kewangan Islam sudah semakin matang, kata Timbalan Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.
Jelasnya, situasi ini menjadikan industri berkenaan mampu menawarkan pelbagai penyelesaian kewangan untuk memenuhi keperluan pelanggannya.
Malah, sejak beberapa tahun kebelakangan ini pihaknya juga menyaksikan peningkatan institusi kewangan Islam dalam menyokong sektor halal.
Beliau menyeru supaya perniagaan halal merebut peluang dari peningkatan tersebut selain menerima amalan kelestarian serta pendigitalan.
" Amalan ini dapat menyediakan platform yang lebih mantap seiring dengan pemulihan ekonomi.
" Walaupun hanya 21.9 peratus syarikat bersijil halal di Malaysia yang menggunakan kewangan Islam pada 2018, jumlah permohonan daripada segmen ini meningkat dua kali ganda pada tahun 2020 kepada 10,800, mencecah nilai RM63 bilion," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian pada sesi panel bertajuk 'Evolusi Kewangan Islam dalam Ekonomi Halal dan Sumbangannya kepada Pemulihan Ekonomi Global' yang diadakan secara maya pada Khamis.
Tambah beliau lagi, pasaran halal tempatan Malaysia pada masa ini bernilai sekitar RM300 bilion.
Jumlah itu menyumbang sebanyak tujuh peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan diramalkan terus naik menjadi RM400 bilion, menyumbang 11 peratus kepada KDNK menjelang 2030.
"Cadangan nilai kewangan Islam telah berkembang sehingga melangkaui di luar perantaraan kredit berasaskan bank.
"Skop perniagaan sejagat di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 membolehkan institusi kewangan Islam menggerakkan pelbagai sumber dana bagi menyampaikan penyelesaian yang bermakna," ujarnya.
Hurainya lagi, salah satu contoh ialah penyediaan perkhidmatan tambah nilai kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti pasaran serta khidmat nasihat dalam fasilitasi perdagangan di samping kemampuan kewangan rantaian bekalan.
Beliau turut memberitahu, setakat ini lima bank Islam sudah menawarkan perkhidmatan tersebut.
Ia ditawarkan melalui Platform Bersepadu Perbadanan Pembangunan Halal dan lebih banyak lagi dijangka menyertai platform digital itu tahun ini.
Sehubungan dengan itu, Abdul Rasheed juga meminta institusi kewangan Malaysia agar memanfaatkan hubungan dengan kerajaan.
"Ini termasuk kerjasama strategik pelbagai hala di sektor halal antara negara dalam menawarkan pembiayaan perdagangan Islam kepada peserta industri halal.
"Ini berikutan, peningkatan minat dari negara-negara ASEAN, yang merupakan 42 peratus daripada populasi Islam global serta permintaan dari negara-negara Asia (bukan negara Islam) memberikan asas penggunaan halal yang luas," jelasnya.
Negara tersebut seperti Jepun, Korea Selatan dan Vietnam.
Tambah beliau lagi, setakat ini tiga institusi kewangan Malaysia telah memanfaatkan jaringan global dan kerjasama strategik mereka.
Ia bertujuan bagi membantu pengeksport halal mendapatkan akses ke pasaran baharu.
"Segmen makanan dan minuman halal Malaysia merangkumi 80 peratus pengeluaran halal di negara ini serta 86 peratus daripada jumlah eksport halal mungkin terjejas oleh perubahan iklim.
"Bagi menggabungkan amalan kelestarian, institusi kewangan Islam juga menjalankan banyak usaha dan sumber daya yang ada, yang disokong oleh konsep perantaraan berasaskan nilai," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram