
"TOLONG beri kami rentas negeri ", itu respons susulan sebahagian besar netizen berhubung peralihan Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke Fasa Dua di Lembah Klang dan Putrajaya bermula Jumaat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut berkongsi pengumuman itu dalam hantaran di laman sosial Facebook pada Rabu.
HANTARAN Facebook Ismail Sabri mendapat lebih 5,700 komen dari warga netizen.— Facebook
Pengumuman tersebut sudah pasti khabar gembira buat warga negeri dan wilayah yang terlibat.
Bagaimanapun, menyorot ruangan komen, ramai juga yang membuat permintaan untuk kelonggaran tambahan meskipun Fasa Dua belum lagi dikuatkuasakan.
Kebanyakan mereka meminta kepada Perdana Menteri supaya memberi kebenaran untuk merentas negeri.
Seorang pengguna di Facebook, Elysa Darwish berkongsi permintaannya supaya dipercepatkan perbincangan merentas negeri kerana dia sudah dua tahun tidak bertemu orang tuanya.
ELYSA meminta agar rentas negeri dibenarkan. — Facebook
"Terima kasih Datuk (ayah Dafi) yang hensem lagi baik hati. Rentas negeri jangan lama-lama sangat bincang tu Datuk. Dua tahun dah tak jenguk mak ayah ni. Mohon percepatkan ya," tulisnya.
Seorang lagi netizen, Siti Rahmah pula meminta supaya kelonggaran diberikan untuk industri perancangan majlis.
Tulisnya, dia meminta agar majlis perkahwinan dapat diadakan meskipun sekadar untuk 100 undangan sahaja.
SITI berharap kelonggaran untuk mengadakan majlis dibenarkan kepada 100 undangan. — Facebook
"Terima kasih Perdana Menteri. Mohon beri ruang kepada kami di bidang perkahwinan pula. Berilah kebenaran untuk mengadakan majlis kenduri di dewan sekurangnya 100 pax sekali duduk. Kami ni dah terdesak teruk. Buatlah SOP yang ketat sekalipun, kami akan patuh. Cuma bagi kami ruang sikit untuk mencari rezeki," kongsinya.
Pemilik akaun Fatimah Karim pula mengajukan soalan tentang waktu operasi kedai runcit dan stesen minyak.
Jelasnya, tempoh operasi sehingga pukul lapan malam menyukarkan dia untuk mengisi minyak dan membeli barang keperluan jika dia bekerja pada waktu malam.
FATIMAH mahu operasi kedai dan stesen minyak dilanjutkan. — Facebook
"Datuk nak tanya juga kenapa pam minyak dengan kedai masih tutup jam 8.00 malam? Susah juga untuk kami yang habis kerja malam. Keperluan tak sempat nak beli," kongsinya.
Seorang lagi pemilik akaun, Ahmad Fadli Mohamad pula meminta supaya kelonggaran diberikan kepada suami yang lengkap dua dos vaksin untuk meneman isteri di bilik bersalin.
Kongsinya, dalam situasi ini kasihan kepada suami yang lengkap dua dos tetapi tidak boleh meneman isteri yang bertarung nyawa melahirkan zuriat mereka.
AHMAD menzahirkan rasa kasihan buat suami lengkap dua dos vaksin yang tidak dapat menemani isteri bersalin. — Facebook
"Terima kasih untuk kelonggaran tersebut.
"Kalau boleh hospital untuk isteri yang nak bersalin tu bagilah peluang suami vaksin dua dos lengkap boleh ke bilik bersalin sekali.
"Kesian kat pasangan suami isteri yang isteri nak bersalin seorang diri. Tahu ada jururawat dan doktor. Tapi bagi lah kelonggaran untuk suami isteri yang lengkap vaksinasi dua dos.. #KeluhanRakyat," tulisnya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram