Fahami maksud sebenar 'pork free', 'no pork'


  • Mukmin
  • Khamis, 26 Ogos 2021

SEBAGAI umat islam, makanan yang jelas sumbernya serta disahkan halal sentiasa dititikberatkan.

Selain mencari tanda halal, satu lagi logo yang sering digunakan di majoriti restoran di Malaysia adalah 'no pork' atau 'pork free'.

Namun apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan 'no pork' atau 'pork free' ini?

Pendakwah yang juga pensyarah Universiti Utara Malaysia, Dr Fitri Haris berkata, restoran-restoran ini barangkali tidak mendapat sijil halal kerana premis perniagaan tersebut menjual produk halal serta produk yang kurang jelas statusnya atau haram.

Umpamanya, kedai itu menjual minuman arak di satu bahagian kedai. Satu bahagian lagi mereka betul-betul jaga, maknanya menggunakan ayam yang disembelih, kuali yang bersih dan diasingkan antara benda yang halal dan tidak halal.

"Walaupun ia sudah elok diasingkan, namun ada benda-benda lain yang mana ia tidak 100 peratus halal.

"Sebab itu mereka letak (tanda) pork free kerana tidak menggunakan 100 peratus halal di kedai tersebut," terangnya.

Tegas beliau, amat penting kita sebagai umat Islam prihatin tentang perkara yang melibatkan soal halal atau haram sesuatu makanan.

"Sebolehnya, pergilah ke kedai yang ada sijil halal. Ia penting bagi mengelakkan kita daripada memakan benda-benda yang meragukan.

"Bukan apa, ia dikhuatiri akan 'menghitamkan' hati kita. Apa yang kita makan itu akan jadi darah daging kita. Jadi, elakkan berbuat demikian," tegasnya. SINAR

free pork, halal, makanan, islam, fardhu