EKSKLUSIF

Buru, denda peniaga online jual juadah indah khabar daripada rupa


  • Massa
  • Jumaat, 10 Sep 2021

RAMAI tertekan dengan pesanan juadah online yang sekadar indah daripada rupa namun hasilnya tidak menepati standard. — Gambar hiasan/Majoriti

SEJAK penularan wabak Covid-19 berlaku dalam negara, rata-rata pengguna memilih untuk membeli makanan secara online sekali gus menjadikan bidang perniagaan itu semakin meluas.

Namun di sebalik perkembangan tersebut, terselit isu kurang menyenangkan yang terpaksa dihadapi pengguna apabila terdapat sesetengah peniaga online didakwa gemar mengambil kesempatan menjual makanan secara semberono.

Persoalannya, mengapa pihak bertanggungjawab seolah-olah terlepas pandang senario sebegini? Adakah peniaga online seolah-olah lebih kebal dan mudah terlepas daripada undang-undang berbanding peniaga konvensional yang berniaga di gerai makan dan restoran?

Seorang pengguna, Nuriylia Malek yang berkongsi pengalamannya bersama Majoriti memberitahu, dia terkilan apabila makanan yang dipesan indah khabar dari rupa.

"Ini kali pertama saya berdepan dengan situasi ini sebab saya memang selalu beli makanan secara online. Masa itu saya lapar dan teringin nak makan mi tarik dan buat pesanan melalui servis penghantaran makanan.

"Bila makanan sampai saya sangat terkejut melihat keadaan makanan itu. Ada mi dan sup serta tiga hiris daging dan dua helai sayur untuk harga RM16," katanya yang juga memberitahu dia telah membuat aduan namun tiada sebarang respons diterima setakat ini.



Nuriylia menyifatkan makanan yang diterima tidak setimpal dengan harganya.

Menurutnya, seorang peniaga sepatutnya bersikap jujur, ikhlas dan bertanggungjawab demi kelangsungan perniagaan yang dijalankan.

"Kalau peniaga itu kelam kabut dengan pesanan makanan yang banyak, mungkin mereka boleh hadkan jumlah menu, jadi situasi seperti ini tidak akan berlaku. Nak cakap fobia tu, taklah..cuma saya tidak akan beli di kedai yang sama lagi selepas ini.

"Saya juga seorang peniaga, berilah servis terbaik kepada pelanggan sebab kalau mereka puas hati, ini akan menguntungkan lagi perniagaan kita. Kalau ada aduan jadikan ia sebagai satu target untuk perbaiki perniagaan," katanya yang mendesak pihak bertanggungjawab termasuk Kementerian Perdagangan Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya lebih serius memantau isu ini walaupun peniaga online.

Turut mengalami nasib yang sama, pengguna Nooratiqah Adila Noor Zaidi yang menyifatkan peniaga yang bermasalah itu perlu sedar bahawa setiap pelanggan yang memilih membeli makanan di tempat mereka adalah disebabkan atas dasar kepercayaan.

"Sebelum ini saya pernah beli tomyam seafood secara penghantaran dengan harga RM18, tapi saya sangat kecewa dengan hasil makanan itu seolah-olah mereka masak dengan cincai. Harga mahal tapi dalam tomyam cuma ada udang yang kecut, ayam dua ketul dengan saiz yang sangat kecil selainnya penuh dengan bahan-bahan yang tak boleh dimakan.

"Peniaga perlu ingat, orang ramai membeli kerana mereka percaya. Tapi kalau ini hasilnya, mungkin perniagaan itu tidak akan bertahan lama," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, peniaga yang tidak menghasilkan makanan seperti apa yang ditawarkan kepada pelanggan boleh diambil tindakan undang-undang.

"Kita memang ada terima aduan-aduan pengguna dan antara isu yang sering dibangkitkan adalah harga yang tidak setimpal dan kualiti makanan yang tidak memuaskan selain caj penghantaran yang terlalu tinggi.

"Kalau diikutkan dalam perundangan, apa yang ditawarkan peniaga dalam apa bentuk di media sosial dan sebagainya mestilah sekurang-kurangnya sama dengan apa yang diterima oleh pengguna, jika tidak mereka memang boleh diambil tindakan dan sebagainya. Peniaga perlu ambil tanggungjawab berniaga dengan jujur, kerana ia akan memberi kesan kepada peniaga itu sendiri.

"Pengguna juga perlu lebih berhati-hati, dapatkan maklumat daripada komen atau review sebelum buat pembelian. Pastikan juga kita meneliti maklumat yang disertakan peniaga supaya kita tidak tersalah membuat pilihan dan menyalahkan peniaga," katanya kepada Majoriti.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram