Kanak-kanak berisiko alami simptom Covid-19 lebih sebulan


  • Benua
  • Jumaat, 10 Sep 2021

BEBERAPA negara di seluruh dunia mula memberi vaksin kepada kanak-kanak seawal usia 12 tahun seperti di China, Emeriyah Arab Bersatu, Venezuela dan juga Malaysia. — AFP

KAJIAN di Britain baru-baru ini mendapati kira-kira 4 peratus kanak-kanak dan remaja mempunyai simptom lebih daripada sebulan selepas dijangkiti Covid-19.

Kajian itu melaporkan antara simptom yang dihadapi oleh golongan itu termasuk keletihan, sakit kepala, hilang deria bau, batuk, dan sakit dada.

Sehingga kini, pakar kesihatan masih belum menemukan jawapan yang menjadi punca simptom itu dalam kalangan kanak-kanak.

Ada pakar berpendapat simptom Covid-19 mungkin akibat kerosakan organ yang berpunca daripada jangkitan awal virus itu.

Kanak-kanak boleh berdepan masalah yang jarang berlaku selepas dijangkit wabak itu termasuk keradangan jantung atau sindrom keradangan organ.

Ini melibatkan berlakunya demam dan keradangan yang menjejaskan anggota badan lain.

Kebiasaannya kanak-kanak kembali pulih selepas dimasukkan ke hospital apabila keadaan ini berlaku.

Peningkatan kes varian Delta bagaimanapun mengundang kegusaran dalam kalangan doktor tentang risiko yang boleh ditanggung kanak-kanak untuk dijangkiti virus itu bagi tempoh yang lama.

Oleh itu, pakar kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) mencadangkan agar lawatan susulan dilakukan doktor terhadap kanak-kanak yang pulih daripada jangkitan awal.

Beberapa negara di seluruh dunia mula memberi vaksin kepada kanak-kanak seawal usia 12 tahun seperti di China, Emeriyah Arab Bersatu, Venezuela dan juga Malaysia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Covid-19, kanak-kanak, simptom